Netizen minta Fahmi perangi Covid-19, henti berpolitik
KUALA LUMPUR - Tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil yang bertanya status isytihar harta dalam kalangan jemaah menteri mengundang rasa kurang senang netizen.
Status dikongsi dalam Facebooknya dimuat naik bersama laporan berita Sinar Harian pada 11 Mac lalu bertajuk 'Jemaah menteri diarah isytihar harta' pada jam 2.20 petang tadi dianggap bersifat politik dan tidak sesuai dengan keadaan negara yang sedang bergelut dalam memerangi koronavirus (Covid-19).
Status ditulis Fahmi mempersoalkan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sama ada sudah mengisytihar harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti yang diluluskan pada 1 Julai lalu.
"Sebulan sudah berlalu. Adakah semua ahli jemaah menteri dan timbalan-timbalan menteri sudah isytihar harta kepada SPRM?
"Adakah SPRM akan papar maklumat pengisytiharan kepada umum seperti ketelusan yang wujud sewaktu pentadbiran sebelum ini?
"Adakah semua Ahli Parlimen PN (yang belum isytihar) akan isytihar harta kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat? Ingat usul diluluskan 1 Julai 2019 yang mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytihar harta kepada Dewan Rakyat," tulis Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Bagaimanapun, status itu mendapat perhatian netizen, malah pengguna Facebook dikenali Fairuz Ali meminta Fahmi untuk berhenti politik dan fokus di kawasannya Lembah Pantai yang mencatatkan kes tertinggi Covid-19 setakat hari ini.
"Kawasan sendiri dah zon merah pun sibuk nak politik lagi? Adeehh. Fokus yang lebih penting dulu YB (Yang Berhormat)," tulisnya.
Seorang lagi pengguna Facebook dikenali Hanisah Nordin juga turut memberikan pandangan sama susulan kebimbangan Covid-19 di Lembah Pantai.
"YB berhentilah politik. Tolong fokus kawasan anda. Dah ramai yang kena Covid-19 di Lembah Pantai," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jemaah menteri diarah isytihar harta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!