Bukan masa untuk cari siapa popular: Tun M
KUALA LUMPUR - Krisis koronavirus (Covid-19) yang dihadapi oleh negara ketika ini bukan masa untuk mencari siapa lebih popular, sebaliknya semua pihak perlu berusaha mendepani dan menangani isu berkenaan secara bersama.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia kini berdepan krisis kesihatan dan ekonomi terburuk dalam sejarah, sehubungan itu usaha perlu ditumpukan untuk mencari jalan bagi mengatasi masalah tersebut.
“Kita bukan sahaja perlu ucap terima kasih kepada barisan hadapan, bahkan kita perlu sama-sama tunjuk sokongan dan beri perhatian dengan menyahut nasihat yang diberikan oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi akaun Twitternya @chedetofficial hari ini.
Sehingga jam 12 tengah hari semalam, terdapat 4,530 jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini dengan 73 kematian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!