Qobin bantu masyarakat Lembah Pantai
SHAH ALAM - Penjelajah Grand Slam Malaysia dan Pendaki Negara, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyumbang barangan keperluan asas kepada penduduk setempat di Lembah Pantai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
Beliau yang juga dikenali sebagai Qobin berkata, sehingga semalam hampir 500 bungkusan telah diedarkan melalui sahabat-sahabat Pemuda UMNO Lembah Pantai.
"Saya pernah hidup susah sebagai anak setinggan dan duduk di pinggir bandar. Saya lahir dan membesar di sekitar Lembah Pantai. Saya merasa terkesan dengan kepayahan yang dirasai oleh penduduk setempat.
"Walaupun saya tidak mampu memberi kepada semua sekurang-kurangnya, saya cuba menyumbang apa yang boleh saya berikan.
"Alhamdulillah, ada rakan-rakan yang memberikan sumbangan dan bersama saya untuk merealisasikan bantuan sumbangan ini," katanya
Qobin yang juga Exco Pemuda UMNO Malaysia berkata, sebahagian penduduk yang telah menerima sumbangan itu ialah golongan asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya dan juga beberapa Pemuda UMNO yang terpaksa diberhentikan kerja secara mengejut.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua Ketua Pemuda UMNO Cawangan Lembah Pantai dan juga ketua bahagian saya yang turut bersama-sama turun padang membantu mereka yang amat memerlukan.
"Saya akan teruskan program ini dari semasa ke semasa dan saya cuba mendapatkan 1,000 lagi bungkusan barangan asas dan juga basah untuk mereka yang terkesan, insya-ALLAH," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!