Tinggal mayat kekasih di garaj kerana panik
KUANTAN - Seorang remaja lelaki yang panik bertindak meninggalkan mayat kekasihnya di garaj rumah keluarga mangsa di Felda Keratong 10, Rompin, selepas mereka terlibat dalam kemalangan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azari Miskon berkata, mayat mangsa dijumpai datuk mangsa sekitar jam 10 pagi tadi, semasa hendak meletakkan kenderaan pacuan empat roda miliknya di garaj itu.
Datuk mangsa difahamkan keluar dari kenderaan untuk memeriksa 'bungkusan' yang ditutup menggunakan kain pelekat dan melihat cucu perempuannya berusia 17 tahun dalam keadaan berlumuran darah selepas membuka kain itu.
"Siasatan awal terhadap teman lelaki mangsa yang berusia 17 tahun mendakwa mereka keluar berjalan-jalan jam 3.30 pagi dengan menunggang sebuah motosikal sebelum terlanggar seekor kerbau di tengah jalan berhampiran kilang sawit Felda Keratong 3.
"Teman lelaki mangsa mendakwa kemalangan itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri kerana parah di kepala dan paha manakala dirinya hanya cedera ringan di tangan dan kaki," katanya menerusi kenyataan media di sini hari ini.
Azari berkata, teman lelaki mangsa yang tinggal di Felda Keratong 5 mendakwa membawa mangsa pulang dan terus beredar dari lokasi kejadian selepas meletakkan mangsa di situ kerana takut dimarahi keluarga mangsa.
Keluarga mangsa pula mendakwa mereka tidak menyedari kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu kerana beranggapan mangsa masih tidur di tingkat atas rumah berkenaan.
Katanya, remaja lelaki itu ditahan bagi siasatan lanjut dan mayat mangsa yang belum disahkan waktu kematian dihantar ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk bedah siasat. - Bernaa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!