Covid-19 dan cabaran penghulu
TUGAS dan tanggungjawab sebagai seorang penghulu atau ketua kampung bukanlah ringan; ia tidak semudah yang disangka.
Apatah lagi apabila penduduk mempunyai harapan serta jangkaan yang tinggi terhadap perkembangan kawasan mereka yang sudah tentu memberikan cabaran terhadap kewibawaan seorang penghulu dalam mentadbir dan mengurus kampung di bawah pengawasan masing-masing.
Apabila bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 18 sehingga 31 Mac yang kemudiannya disambung lagi hingga ke 14 April, ramai juga yang terputus bekalan makanan, terutama mereka yang bekerja kampung atau buruh yang mendapat gaji harian.
Masih ramai yang bekerja kais pagi untuk makan petang.
Sebagai wakil pihak kerajaan yang prihatin, maka para penghulu berusaha mengumpulkan bekalan makanan dengan bajet yang ada bagi membantu mereka yang terjejas pendapatan dan putus bekalan makanan.
Dalam situasi sebegini pun, golongan yang gemar mengkritik tetap dengan tabiat mereka.
Pelbagai kritikan tersebar di media sosial seperti WhatsApp dan Facebook; ada yang mengatakan penghulu lambat mengagihkan bekalan makanan dan ada yang menuduh agihan tidak adil.
Yang tidak tahu cerita juga menambah minyak ke api dan turut mengutuk golongan penghulu; seolah-olah, semua penghulu zalim.
Kadangkala, bekalan makanan tiba berperingkat, bukannya sekali gus. Ini kerana ia ditempah daripada pembekal yang berlainan, dalam jumlah yang banyak, bukannya dibeli di kedai runcit atau pasar raya.
Ada kalanya beras sampai dahulu, manakala minyak masak dan telur belum sampai lagi.
Ada penduduk kampung yang apabila ternampak bekalan beras bertimbun di rumah penghulu, menuduh penghulu tidak mengagihkan bekalan makanan.
Sekiranya bekalan yang belum mencukupi itu diagihkan terus, penghulu tetap dimarahi. Kata mereka, “takkan gandum sahaja? Nak goreng cekodok macam mana minyak tak ada?”
Penghulu pun kata bila minyak masak sampai, dia akan hantar. Keesokan harinya, 10 kotak minyak masak tiba.
Penghulu pun naik motosikal untuk menghantar minyak masak ke rumah penduduk yang telah membuat bising sebelum itu.
Kebetulan pula, jiran sebelah rumah terlihat lalu bising pula si jiran di media sosial.
Katanya, “semalam sudah hantar sumbangan makanan, hari ini beri lagi kepada orang yang sama.” Habis bising satu kampung.
Ada pula penghulu yang agak proaktif; kerana kasihankan penduduk kampung yang hanya makan nasi dengan telur, dikumpulnya duit dengan sahabat handai untuk membeli ikan segar dengan kos RM500 untuk diedarkan kepada penduduk.
Penduduk yang tersangat gembira menaikkan status makan ikan segar dalam WhatsApp dan Facebook.
Bising pula penduduk kampung sebelah kerana mereka tidak menerima ikan segar. Maka dituduh pula penghulu mereka ‘makan’ duit peruntukan ikan.
Beginikah sikap kita? Nampaknya, selagi PKP belum tamat, selagi itulah penghulu akan sentiasa dipersalahkan.
Kadangkala, peruntukan bekalan makanan sampai untuk 100 keluarga sedangkan ada 300 keluarga di kampung tersebut.
Seratus keluarga yang menerima bantuan berterima kasih manakala 200 keluarga yang lain mengecam dan mengutuk penghulu.
Kepada semua penghulu di luar sana, bersabarlah dengan kerenah orang kampung.
Suatu hari nanti, mungkin mereka akan sedar bagaimana tidak mudahnya menguruskan situasi sebegini.
Yang penting, sentiasalah ingat bahawa tugas dilakukan kerana ALLAH.
Fitnah, celaan dan cacian segelintir warga kampung mungkin menjadi asbab dikurniakan pahala dan kemuliaan oleh ALLAH SWT, sekiranya dihadapi dengan hikmah dan sabar.
* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!