Pelajar IPT perlu bersabar dahulu
DIANGGARKAN seramai hampir 80,000 pelajar institusi pengajian tinggi tidak dapat pulang ke rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 18 Mac lalu.
Jumlah itu tidak termasuk pelajar yang tinggal di luar kampus. Ada yang sempat pulang ke rumah sebelum PKP diumumkan, namun sebahagian besar masih terkandas di kampus masing-masing.
Banyak pihak khususnya ibu bapa dan pelajar mendesak kerajaan memberi kelonggaran kepada pelajar-pelajar tersebut pulang ke kampung masing-masing, apatah lagi PKP dilanjutkan ke fasa ketiga sehingga 28 April depan.
Hal ini membuatkan pelajar mula berasa tertekan apabila memikirkan sebarang kemungkinan mereka akan berhari raya seorang diri di kampus sekiranya PKP masih dilanjutkan.
Tidak salah sekiranya membenarkan pelajar-pelajar berkenaan pulang ke kampung dengan mengambil kira kesukaran yang mereka hadapi. Pada masa yang sama, mereka juga tentu risau dengan keadaan keluarga di kampung.
Ada yang tidak berpuas hati kerana pelajar yang belajar di luar negara dapat dibawa pulang tetapi mereka yang belajar di dalam Malaysia masih lagi terkandas.
Membandingkan nasib pelajar luar negara dengan dalam negara sudah tentu tidak adil kerana mereka di sana sukar untuk mendapatkan bekalan makanan dan ada juga yang tinggal di rumah sewa.
Sebenarnya risiko pulang ke kampung amatlah besar kerana Covid-19 mungkin disebarkan kepada ahli keluarga yang lain pula.
Tambahan pula ia melibatkan pergerakan yang besar dan dibimbangi akan menjejaskan usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19 yang dilakukan ketika ini, terutama sekiranya kampung masing-masing dalam zon merah.
Ibu bapa sebenarnya tidak perlu bimbang kerana kerajaan menanggung sepenuhnya perbelanjaan semua pelajar yang terkandas di IPT masing-masing dan kebajikan mereka juga diuruskan dengan baik oleh pihak universiti.
Duduk sahaja di kampus, baca buku, siapkan tugasan dan sebagainya yang boleh menambahkan lagi ilmu di dada. Ini adalah masa terbaik untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran tanpa gangguan. Masa yang ada juga boleh digunakan untuk buat diskusi online bersama rakan-rakan kerana dibekalkan internet percuma. Jadi, bersabarlah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!