Pendekatan menyeluruh diperlukan

Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pemeriksaan saringan untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Flat PKNS, Kampung Baru. - Foto Bernama
Petugas Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pemeriksaan saringan untuk mencegah penularan jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Flat PKNS, Kampung Baru. - Foto Bernama
A
A
A

SEHINGGA vaksin ditemui dan digunakan secara berkesan yang menurut pakar akan mengambil masa sekitar 12 dan 18 bulan lagi, perang ke atas Covid-19 nampaknya akan berpanjangan.

Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, ada keperluan supaya semua pihak masuk ke dalam rangka pemikiran dan beroperasi sebagai kerajaan secara keseluruhan demi memenangi perang Covid-19 ini. Banyak lagi yang perlu dilakukan.

Apabila PKP diputuskan, kita diberitahu bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menjadi badan penyelaras utama.

Secara tradisi, MKN berfungsi sebagai sebuah sekretariat yang diuruskan oleh penjawat awam dan bukannya saraf tunjang keselamatan yang proaktif menghubungkan semua agensi keselamatan ke pihak atas dalam sela masa setiap hari dan jam.

Sudah tiba masanya untuk Malaysia mempertimbangkan melantik Penasihat Keselamatan Negara bertaraf menteri Kabinet dan menjalankan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Semasa PKP, sepatutnya ada satu war room dipengerusikan Perdana Menteri setiap hari untuk mengawasi data terkini.

Pekerjaan

Pada peringkat dasar, terdapat keperluan untuk melibatkan hospital dan klinik swasta sama ada untuk melawan Covid-19 atau menangani penyakit lain secara lebih meluas.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan The Edge Financial Daily, hospital swasta kini kurang sibuk kerana pesakit warga asing tidak dibenarkan datang, manakala pesakit Malaysia mengelak daripada pergi ke hospital.

Kita perlu menambah bilangan dan kapasiti frontliners kesihatan serta peralatan di hospital. Kita perlu melakukan lebih banyak ujian, mengesan dan mengasingkan; perlu memastikan kesemua hospital dan petugas baris hadapan dilengkapi PPE yang mencukupi, ICU terjamin keselamatannya dan stok alat bantu pernafasan mencukupi.

PKP adalah harga ekonomi yang harus dibayar untuk menjamin kesihatan rakyat dan memastikan sistem kesihatan kita tidak runtuh. Itulah imbangan yang telah difahami dengan baik tetapi kita sebenarnya boleh mengelak impak pada rantaian bekalan makanan.

Pelupusan sayur-sayuran dari Cameron Highlands, Pahang adalah pembaziran yang teruk yang secara langsung disebabkan oleh komunikasi rentas agensi yang tidak berkesan. Krisis ini juga menjadi peluang terbaik untuk mengembangkan sektor e-dagang negara.

Kita juga boleh membina kapasiti pengeluaran perang untuk bekalan perubatan dalam tempoh empat minggu yang lalu, yang wajar dimulakan kerajaan pada minggu-minggu akan datang. Kerajaan boleh melakukan lebih banyak lagi untuk sektor perniagaan demi menyelamatkan pekerjaan.

Amerika Syarikat kehilangan 16 juta pekerjaan dalam masa tiga minggu. Belum pernah terjadi sebelum ini. Kerajaan perlu memikirkan strategi ekonomi dengan segera, dengan mengambil kira perspektif kesihatan dan keselamatan.

Kemungkinan besar banyak pemikiran lama yang membentuk pemahaman kita tentang ekonomi perlu diubah dengan pendekatan yang lebih berani. Hanya apabila kita bersedia untuk berfikir di luar kotak maka kita akan dapat mencari jalan-jalan baharu.

Malaysia dan seluruh dunia baru sahaja berada pada permulaan perang Covid-19. Cabarannya tidak akan hilang begitu sahaja. Malah lebih banyak akan menjelang. Kita kini memerlukan pendekatan menyeluruh daripada kerajaan.

Sudah tiba masanya untuk memecahkan penghadang dalam struktur kerajaan dan menyusun gerakan bersama secepat mungkin.

Tangan kiri kerajaan mesti tahu apa yang dilakukan oleh tangan kanan dan bekerja serentak untuk menyelamatkan nyawa dan ekonomi demi seluruh rakyat Malaysia.

* Liew Chin Tong ialah Pengerusi DAP Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!