PKP: Pengusaha kerepek tukar strategi perniagaan

Hidayah melakukan pembungkusan dan pelabelan untuk kerepek yang dihasilkan sebelum menjualnya secara dalam talian sejak pelaksanaan PKP di Kampung Seri Bunian, Pontian, Johor.
Hidayah melakukan pembungkusan dan pelabelan untuk kerepek yang dihasilkan sebelum menjualnya secara dalam talian sejak pelaksanaan PKP di Kampung Seri Bunian, Pontian, Johor.
A
A
A

PONTIAN - Seorang pengusaha kerepek di Kampung Seri Bunian di sini yang terjejas perniagaan kesan penularan koronavirus (Covid-19) tidak pernah berputus asa untuk terus bertahan dalam keadaan pasaran yang serba mencabar ketika ini.

Prinsip pemilik Rich Ros Enterprise, Hidayah Mat Isrin, 35, tidak sekali-kali akan tunduk dengan tekanan jauh sekali mengalah sebaliknya beralih memasarkan kerepeknya secara dalam talian sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.

Menurutnya, sejak awal bulan lalu sebelum PKP dikuatkuasakan, pihaknya sudah menghasilkan 300 kilogram (kg) kerepek daripada pisang tanduk, pisang berangan selain ubi dan keledek untuk dijual kepada pemborong.

"Kami mengusahakan kerepek di bengkel kami dan menjualnya kepada pemborong yang datang ke bengkel kami dan ada juga dihantar kepada pembekal-pembekal. Sebelum ini dalam seminggu kita akan menerima tempahan dalam 100 hingga 200kg untuk seminggu.

"Apabila PKP dilaksanakan pemborong tidak lagi datang malah kita juga tidak dapat lagi menghantar kepada pembekal. Ini membuatkan kami mula melakukan pembungkusan dan pelabelan sendiri sebelum menjualnya secara dalam talian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hidayah Mat Isrin
Hidayah Mat Isrin

Jelas Hidayah, penjenamaan semula terpaksa dilakukan sejak PKP dan pihaknya memasarkan produk mereka menerusi platform digital seperti Facebook dan Instagram termasuk laman sesawang dengan menggunakan nama Rich Ros Enterprise.

Katanya, sambutan semakin memberangsangkan walaupun pembelian dalam talian hanya kira-kira 10kg sehari.

Artikel Berkaitan:

"Menerusi platform digital kita tidak boleh jual mahal kerana pada masa sekarang makanan memang diperlukan tetapi orang ramai ketika ini berjaga-jaga ketika berbelanja.

"Kerepek yang kita jual pun harganya dalam RM12 sepeket," katanya.

Menurutnya, perniagaan tersebut diusahakannya sejak 2012 selepas mengambil alih daripada ibunya yang sudah 20 tahun terlibat dalam perusahaan kerepek di kampung berkenaan dan sudah dikenali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!