Wira 'oren' pastikan kebersihan Seberang Perai
KEPALA BATAS - Dalam kekalutan dunia memerangi wabak Covid-19, ada insan yang tidak ketinggalan menjalankan amanah dengan memastikan persekitaran sentiasa dalam keadaan yang bersih dan terjaga.
Mereka ini adalah wira 'oren' Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Memulakan rutin harian seawal jam 7 pagi, Md Tarmizi Abd Rahman, 38, tidak pernah mengeluh dengan tanggungjawab yang dipikul sejak enam tahun lepas demi mencari sesuap nasi lebih-lebih lagi ketika wabak ganas Covid-19 menyerang dunia seolah-olah tiada erti belas.
"Jadual kami berjalan seperti biasa, namun ketika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kami perlu lebih aktif mengangkut sampah sekitar kawasan Majlis (MBSP) iaitu di Zon 2 (kawasan Bertam) sebab orang tak boleh keluar rumah dengan kerap," katanya ketika ditemui Bernama di sini semalam.
Pada hari biasa waktu kerja dari 7 pagi sehingga 4 petang, namun semasa PKP jadual kerja telah disingkatkan dari 7 pagi hingga 12 tengah hari.
"Hari ini saya dan beberapa anggota MBSP turut ditugas mengangkut sampah kebun seperti dedaun, ranting pokok, perabot kayu yang rosak selain sampah domestik," katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dalam mendepani wabak yang 'tidak berupa' itu, dirinya dan rakan sekerja sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali melakukan operasi pembersihan.
"Jauh di sudut hati kami bermohon kepada Tuhan agar melindungi kami daripada segala wabak yang boleh mendatangkan mudarat kepada kami dan keluarga.
"Malah, pihak pengurusan MBSP juga sering berpesan kepada kami supaya mengamalkan langkah pencegahan di tahap maksimum seperti sentiasa membasuh tangan dan membersih peralatan yang digunakan selepas bertugas agar tidak membawa 'pulang' musuh yang tidak kelihatan ini," katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud ketika dihubungi Bernama berkata, jumlah berat sampah domestik dan industri telah menunjukkan penurunan pada minggu pertama sejak PKP dilaksanakan.
"Jumlah berat sampah di Seberang Perai bagi minggu pertama PKP berkurang sebanyak 22.26 peratus dan bagi minggu kedua berkurang 46.04 peratus," katanya
Dalam memastikan kakitangan MBSP mematuhi langkah-langkah pencegahan sewaktu di lapangan, kakitangan MBSP telah diberikan taklimat mengenai kaedah penyebaran penyakit ini serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan.
"Latihan seperti kaedah melaksanakan nyah kuman diberikan sebagai langkah persediaan di samping latihan hands-on penggunaan jentera berat bagi menjalankan nyah kuman berskala besar sekiranya berlaku penularan yang tidak terkawal.
"Senaman ringan dilakukan setiap hari bagi mengurangkan tekanan kerja kepada setiap kakitangan supaya mampu melaksanakan tugasan yang terbaik dengan penuh semangat selain membekalkan penutup mulut dan hidung, cecair pembasmi kuman kepada setiap lori serta mengarahkan setiap pekerja membasuh tangan setiap kali selepas menjalankan tugas-tugas pembersihan serta mencuci depoh dan kenderaan setelah selesai tugasan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!