Sekat pergerakan melalui penutupan jalan

Gambar tular menunjukkan jalan masuk ke Sungai Rokam ditutup.
Gambar tular menunjukkan jalan masuk ke Sungai Rokam ditutup.
A
A
A

IPOH - Penutupan beberapa laluan utama dan alternatif dalam daerah Ipoh dibuat bagi memperketatkan kawalan pergerakan orang ramai selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, kawalan itu juga bertujuan memastikan tiada individu lari daripada sekatan jalan raya dan pemeriksaan mengejut dijalankan pihak berkuasa.

"Apabila fasa penguatkuasaan PKP, semua lorong tikus dan jalan ini kita tutup supaya orang ramai menggunakan satu laluan sahaja untuk keluar masuk.

"Ini satu cara kita mendisiplinkan orang ramai supaya jangan berseronok keluar masuk kawasan dengan mengelak sekatan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jalan pintasan dari Kampung Dato' Ahmad Said ke Taman Wing Oon-Jalan Kuala Kangsar ditutup.
Jalan pintasan dari Kampung Dato' Ahmad Said ke Taman Wing Oon-Jalan Kuala Kangsar ditutup.

Beliau mengulas mengenai beberapa gambar tular di media sosial menunjukkan anggota polis mengawal penutupan jalan menggunakan kon yang mencetuskan kebimbangan orang ramai.

A Asmadi berkata, langkah itu bagi memudahkan pemantauan dengan memastikan mereka yang keluar benar-benar atas urusan penting dan bukan disebabkan tujuan lain.

"Untuk menempatkan anggota di semua laluan memang sukar kerana masih banyak tempat tumpuan lain seperti pasar awam memerlukan pemantauan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi dengan cara ini kita boleh hadkan pergerakan, orang ramai juga tidak lagi boleh lari dari sekatan dan pemeriksaan mengejut," katanya.

Terdahulu, pengguna media sosial berkongsi maklumat penutupan jalan melibatkan kawasan Sungai Rokam, Gunung Rapat, Pekan Razaki, Taman Golf, Kampung Melayu, Ampang dan Ipoh Jaya.

Turut dikongsi gambar penutupan jalan pintasan Desa Pakatan menghala ke pasar raya TF Value Mart dan jalan pintasan dari Kampung Dato' Ahmad Said ke Taman Wing Oon-Jalan Kuala Kangsar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!