Berita gembira untuk bayi lahir di Sarawak!

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menyampaikan 'Endowment Fund' kepada penerima pada majlis penyampaian sumbangan tersebut hari ini.- Foto Bernama
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menyampaikan 'Endowment Fund' kepada penerima pada majlis penyampaian sumbangan tersebut hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUCHING – Kerajaan negeri menyediakan peruntukan khas sebanyak RM40 juta bagi bayi yang lahir di Sarawak untuk tahun ini menerusi Endowment Fund Sarawak (EFS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata statistik menunjukkan purata bagi bayi yang dilahirkan di negeri ini ialah 40,000 setahun.

“Selagi negeri ini dilimpahi dengan rezeki, segalanya akan diberikan semula kepada rakyat, supaya setiap mereka mempunyai masa depan yang cerah,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran dan penyampaian EFS di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 55 pasangan bersama bayi masing-masing di sekitar bandar raya ini yang lahir pada 1 hingga 7 Januari, 2019 diraikan dan menerima sumbangan sebanyak RM1,000 untuk setiap anak.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata kerajaan negeri telah mengumumkan sumbangan RM1,000 untuk setiap anak Sarawak yang dilahirkan dalam Ucapan Belanjawan 2019 di Dewan Undangan Negeri yang lalu.

“Setiap anak daripada kedua ibu bapa warganegara Malaysia, pemegang MyKad berstatus “K”, lahir di Sarawak layak mendapat EFS, tanpa mengira bangsa, agama atau status sosioekonomi, dan pendaftaran dibuat dalam tempoh setahun selepas kelahiran,” katanya.

Beliau berkata sumbangan itu adalah sebagai simpanan untuk tujuan pendidikan dan masa depan anak-anak.

Dalam pada itu, Falisca Sanatha, 35, ibu kepada pasangan kembar perempuan Ju Leanne Jayna Subramani dan Joy Anna Jayne Subramani yang lahir pada 2 Jan tahun ini, berkata langkah yang dilakukan kerajaan negeri itu sangat baik terutamanya demi masa depan anak-anaknya.

Artikel Berkaitan:

“Pemberian RM1,000 itu akan dijadikan tabung pendidikan buat anak saya kerana pada masa hadapan kita tidak tahu bagaimana keadaan ekonomi keluarga,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!