Sidang Kemuncak Khas ASEAN jangka umum deklarasi Covid-19

Sidang Kemuncak Khas ASEAN jangka umum deklarasi Covid-19 - Foto 123RF
Sidang Kemuncak Khas ASEAN jangka umum deklarasi Covid-19 - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Satu deklarasi khas dijangka akan dikeluarkan negara-negara anggota ASEAN melalui Sidang Kemuncak Khas rantau itu bagi menangani kesan penularan pandemik koronavirus (Covid-19) pada 14 April ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Deklarasi Sidang Kemuncak Khas ASEAN itu dikeluarkan susulan satu sidang khas bagi membolehkan negara anggota ASEAN membincangkan usaha dan persediaan bersama rantau itu dalam menangani Covid-19.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN itu menerusi persidangan video pada pagi esok (14 April).

"Sidang Kemuncak Khas itu akan dihadiri ketua-ketua negara dan kerajaan negara anggota ASEAN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyễn Xuân Phúc, yang juga Pengerusi ASEAN ketika ini.

"Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi juga akan mengambil bahagian dalam persidangan video tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wisma Putra turut menegaskan Muhyiddin akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga mengenai Covid-19 juga menerusi persidangan video pada sebelah petang hari sama.

Menurutnya, Sidang Kemuncak Khas itu turut disertai ketua-ketua negara dan kerajaan negara-negara Anggota ASEAN dan Negara Campur Tiga iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

"Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dan Jock Hoi akan turut mengambil bahagian dalam persidangan video itu.

Artikel Berkaitan:

"Semasa Sidang Kemuncak Khas itu, negara anggota ASEAN dan Negara Campur Tiga akan bertukar-tukar pandangan dan meneroka bidang kerjasama dalam menangani pandemik Covid-19.

"Sidang Kemuncak Khas itu juga akan menghasilkan Kenyataan Bersama Sidang Kemuncak Khas ASEAN Campur Tiga mengenai Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!