Selangor lanjut tangguh solat di masjid, surau hingga 31 Mei

Kenyataan yang dimuat naik menerusi status di Facebook Selangor Royal Office.
Kenyataan yang dimuat naik menerusi status di Facebook Selangor Royal Office.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini memperkenankan tempoh penangguhan solat Jumaat, berjemaah dan aktiviti ceramah serta kuliah di semua masjid, surau dan musala di negeri ini dilanjutkan sehingga 31 Mei depan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas atas titah baginda bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklum balas terkini berhubung ancaman wabak Covid-19 di negeri ini.

Bagaimanapun katanya, sekiranya wabak itu dapat dibendung dan diatasi dalam satu tempoh yang lebih awal maka satu arahan baru akan dikeluarkan.

"Melihat kepada perkembangan semasa statistik kes jangkitan Covid-19 di negeri ini baginda menzahirkan kebimbangan terhadap 6.5 juta penduduk yang mungkin akan terdedah kepada jangkitan wabak ini sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.

"Baginda berharap tiada lagi rakyat negeri ini yang akan dijangkiti dan meninggal dunia akibat wabak berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik menerusi Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Mohamad Munir berkata, baginda turut bertitah supaya langkah-langkah lain untuk kesejahteraan rakyat Selangor.

"Solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor dan solat fardu serta solat sunat tarawih tahun ini dilakukan di rumah masing-masing," katanya.

Katanya, rakyat juga diingatkan lebih serius dalam usaha mencegah jangkitan wabak dengan duduk di rumah, menjaga kebersihan diri dan kesihatan serta mengamalkan penjarakkan sosial.

Artikel Berkaitan:

"Patuhi peraturan dan arahan kerajaan serta ikuti garis panduan terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan," katanya.

Mohamad Bani berkata, Sultan Sharafuddin turut menegaskan supaya rakyat mematuhi semua perkara tersebut bagi mengelakkan mereka berhimpun atau berkumpul yang boleh meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Selain itu katanya, baginda menzahirkan dukacita dengan penyebaran berita dan video palsu berkaitan jangkitan Covid-19 dan mengingatkan semua pihak lebih bertanggungjawab dan tidak mereka berita palsu yang boleh menimbulkan kegelisahan rakyat.

Beliau berkata, Sultan Sharafuddin turut meminta rakyat supaya terus memperbanyakkan doa agar negeri ini dijauhi dari wabak penyakit dan bala bencana yang boleh menyebabkan kematian.

"Baginda turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan 1441 Hijrah dan menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam dan semoga semua amal ibadat yang dilakukan akan diberi ganjaran pahala oleh ALLAH," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!