Majikan perlu pastikan pekerja warga asing patuhi PKP

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang menasihatkan semua majikan yang menggunakan pekerja warga asing dan komuniti pelarian agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memantau tahap kesihatan mereka bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, sekiranya majikan tidak memastikan keselamatan serta kesihatan komuniti migran ia secara tidak langsung akan menggagalkan usaha untuk mematahkan rantaian penularan virus itu.

Menurutnya, kerajaan negeri telah menasihati pihak majikan seperti Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Pemanu Hartanah dan Perumahan (REHDA) Cawangan Pulau Pinang untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja masing-masing termasuk pekerja migran terjamin.

"Kita sedar bahawa virus Covid-19 ini tidak mengenal kaum, agama dan warganegara, oleh itu, perlu dipastikan juga agar pekerja asing di negeri ini mematuhi segala perintah yang dikuatkuasakan kerajaan.

"Jika kita tidak memastikan keselamatan serta kesihatan komuniti migran di negeri kita, secara tidak langsung rakyat Pulau Pinang dan rakyat Malaysia juga yang akan terkesan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Kon Yeow berkata, daripada maklum balas yang diberikan FMM menyatakan semua pekerja migran mereka diarahkan untuk mematuhi PKP secara tegas, melaksanakan langkah-langkah kesihatan awam seperti penjarakkan sosial.

Selain itu, katanya sekiranya mereka terlibat dengan operasi kilang perkhidmatan penting, maka peralatan seperti topeng muka serta cecair pembasmi kuman disediakan untuk keperluan mereka.

"Sebagai jaminan keselamatan semua di negeri ini, pegawai penguat kuasa dari kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa memantau keadaan tapak-tapak pembinaan untuk memastikan kepatuhan PKP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kon Yeow berkata, bagi komuniti pelarian, kerajaan negeri telah bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkhidmat dalam kalangan komuniti ini seperti Persatuan Komuniti Berdikari, Penang Stop Human Trafficking Campaign, ASPIRE Penang, Malaysian Relief Agency, Doctors Without Borders Caremongers Penang, Penang Working Group dan lain-lain.

Malah, katanya pada minggu lepas beliau telah meluluskan sejumlah peruntukan kepada Persatuan Komuniti Berdikari sebagai dana bantuan kepada komuniti pelarian di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!