Mukim Plentong, Ulu Benut dikategorikan zon merah
JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Johor melaporkan sebanyak 37 mukim di negeri ini masih berada dalam zon hijau dengan rekod tiada kes.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, ini diikuti dengan 49 mukim di bawah zon kuning.
"Sebanyak empat mukim diletakkan dalam zon jingga manakala dua mukim iaitu Plentong, Pasir Gudang dan Ulu Benut, Pontian diletakkan di bawah zon merah dengan melebihi 40 kes.
"Sehingga semalam jabatan berkenaan mencatatkan penambahan sebanyak 14 kes baharu koronavirus (Covid-19) yang menjadikan jumlah keseluruhan 558 kes dengan tiada kes kematian baharu direkodkans," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurutnya sehingga kini seramai 145 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ditugaskan untuk mengawal perairan di seluruh negeri sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.
"Mengikut statistik APMM laluan kapal sepanjang PKP setiap hari mengalami penurunan sehingga 45 peratus berbanding 200 hingga 300 buah kapal yang melalui Selat Melaka pada hari biasa.
"APMM sentiasa menasihatkan para pemancing untuk pulang ke rumah dan bagi bot-bot nelayan kelas A dan B, kerajaan tidak menghalang mereka meneruskan aktiviti penangkapan ikan sepanjang tempoh PKP," katany.
Katanya, selain itu pihaknya mendapati bahawa purata peratusan pematuhan PKP di seluruh Johor semalam meningkat sedikit iaitu 96.95 peratus berbanding 96.74 peratus pada 11 April lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!