Vivian, Cheng Wen bergelut sebelum mara

Pemain beregu wanita negara Yap Cheng Wen (kiri) dan Vivian Hoo (kanan) beraksi menentang lawannya Chayanit Chaladchalam dan Phataimas Muenwong dari Thailand pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. Foto: Bernama
Pemain beregu wanita negara Yap Cheng Wen (kiri) dan Vivian Hoo (kanan) beraksi menentang lawannya Chayanit Chaladchalam dan Phataimas Muenwong dari Thailand pada Kejohanan Perodua Malaysia Masters 2019 di Axiata Arena Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

GANDINGAN pemain senior dan junior, Vivian Hoo-Yap Cheng Wen menampilkan semangat juang tinggi walaupun terpaksa bergelut untuk mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Perodua Malaysia Masters 2019 di Stadium Axiata Arena, KL Sports City di sini.

Pada perlawanan pusingan pertama, beregu wanita negara itu tumpas pada set pertama kepada gandingan Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong dari Thailand 12-21.

Mereka kemudian bangkit pada dua set seterusnya dengan kemenangan 21-12, 21-18 dalam pertarungan selama satu jam enam minit itu.

Vivian berkata walaupun merupakan pemain berpengalaman dalam kem badminton tetapi dengan gandingan baharu ini beliau perlu bermula dari bawah seperti pemain baharu yang lain.

“Perlawanan yang sangat sukar. Kami memang akui akan berdepan saingan sengit sebelum perlawanan bermula kerana kami pernah kalah dengan mereka. Tetapi kami puas dapat menang perlawanan ini.

“Walaupun saya lebih berpengalaman daripada Cheng Wen, tetapi setiap perlawanan itu adalah baharu kerana kami adalah gandingan baharu. Masih banyak boleh ditingkatkan dan diperbaiki,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Bagi Vivian, 29, beliau menyifatkan gandingan bersama Cheng Wen masih memerlukan masa untuk mendapat keserasian setelah pasangannya Woon Khe Wei kini berehat akibat kecederaan.

“Saya akui masih banyak perlu diperbaiki, kami masih baru digandingkan dan perbezaan umur juga menjadi cabaran buat saya. Kadang-kadang kami ada salah faham juga, mungkin Cheng Wen terlalu menghormati saya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya tiada masalah besar mengenai gandingannya dengan Cheng Wen, 24, kerana sasaran mereka untuk berada dalam kelompok 32 dunia sudah tercapai tahun lalu selepas digandingkan pada September tahun lepas.

"Tahun ini jadual lebih padat, sasaran saya adalah dapat berada dalam kelompok 16 dunia pada tahun ini. Saya berharap dalam beberapa kejohanan lain selepas ini, komunikasi kami lebih baik dan mempamerkan saingan yang lebih kuat,” katanya.

Vivian-Cheng Wen akan bertemu beregu daripada pusingan kelayakan, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto dari Indonesia esok.

Terdahulu beregu wanita utama negara, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean mudah disingkirkan oleh beregu dari Jepun, Ayaka Sakuramoto-Yukiko Takahata dengan 8-21, 14-21 dalam satu lagi perlawanan yang sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!