Jurubahasa isyarat jadi tumpuan setiap kali siaran langsung Covid -19

A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas boleh dikatakan setiap hari rakyat Malaysia akan tertunggu-tunggu siaran langsung sidang media harian berkaitan penularan wabak Covid-19.

Malah siaran langsung itu turut dapat diikuti oleh mereka yang kurang sempurna, seperti yang mempunyai masalah pendengaran.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah antara individu penting yang sering tampil di kaca TV bagi menyampaikan perkembangan terkini situasi pandemik Covid-19.

Tidak ketinggalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan maklumat dan pengumuman Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tempoh hari.

Semestinya, setiap sidang media yang ditunggu-tunggu menjadi perhatian masyarakat dengan perwatakan dan penggunaan bahasa serta perumpamaan bersahaja beliau.

Jika kita lihat di sudut bawah TV, di bahagian kanan, terdapat kelibat seseorang yang kedua-dua tangannya sibuk menterjemahkan sidang media itu.

Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia Wan Zuraidah Abu berkata, peranan jurubahasa isyarat sangat penting semasa PKP ini dalam memastikan 48,000 golongan pekak yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat mengetahui situasi terkini Covid-19.

"Tentunya PKP ni warga pekak menunggu... live dari kerajaan... menunggu dapat informasi terkini dan boleh difahami secara terus," kata Wan Zuraidah kepada Bernama TV (Astro 502).

Artikel Berkaitan:

Tidak cukup dengan gerakan tangan, Wan Zuraidah berkata, riak wajah dan gerakan tubuh turut sama memainkan peranan dalam menafsirkan emosi dan intonasi yang tepat agar sepadan dengan reaksi individu yang menyampaikan sidang media berkenaan.

Ini kerana, ekspresi yang ditunjukkan jurubahasa isyarat sahaja dapat menjadi panduan kepada golongan pekak menterjemahkan maksud sebenar penyampai.

"Memang cabarannya agak banyak sebab dari segi pemahaman, penyampaian katakan agak cepat, dalam media elektronik... kena sampaikan juga dengan cepat dan tepat," tambah beliau.

Jadi bagaimana jurubahasa isyarat mengekalkan stamina memandangkan kadang-kala 40 minit hingga 1 jam terjemahan dengan banyak tenaga perlu digunakan?

Wan Zuraidah berkata, jurubahasa biasanya memastikan mereka mendapat rehat yang mencukupi selain menjaga pemakanan bagi memastikan mereka dapat menyampaikan komunikasi kepada golongan sasaran mereka dengan baik.

Setakat ini, terdapat 30 jurubahasa isyarat yang berkhidmat di seluruh negara dan beliau mengalukan-alukan orang ramai untuk mempelajari bahasa isyarat bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan golongan pekak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!