Perbicaraan Rosmah disambung 29, 30 April ini
KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor yang membabitkan pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak akan bersambung pada 29 dan 30 April ini di Mahkamah Tinggi di sini.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, ini susulan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April yang diumumkan kerajaan.
"Setakat ini, hanya ada tarikh sambung bicara pada 29 dan 30 April ini. Untuk tarikh sambung bicara seterusnya, mahkamah masih belum tetapkan," katanya menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.
Mahkamah sebelum ini menetapkan bahawa perbicaraan kes itu bersambung pada 15 dan 16 April, 20 hingga 23 April serta 28 hingga 30 April.
Pihak pembelaan akan meneruskan pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-12 iaitu bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad apabila perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.
Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 Sept 2017.
Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama-sama Rizal, yang berdepan empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak beliau berhubung projek itu, namun pada 8 Jan lepas, mahkamah melepas dan membebaskan Rizal selepas pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya.
Rosmah juga berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
Kes itu ditetapkan untuk perbicaraan pada bulan Mei.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!