Dua rumah kedai musnah terbakar
ALOR SETAR - Dua rumah kedai kelas C di Jalan Sanglang, Kampung Paya Pida 1, Kodiang, dekat sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd Zain, kejadian itu turut memusnahkan sebuah motosikal.
Menurutnya, sebaik menerima laporan kebakaran jam 12.57 tengah hari, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera bagi memadamkan kebakaran.
"Semasa tiba, api dilihat sedang marak di premis berkenaan dengan peratusan kebakaran sebanyak 90 peratus, namun tidak melibatkan mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, anggota BBP Jitra dengan bantuan BBP Bukit Kayu Hitam dan BBP Arau mengawal dan memadam kebakaran menggunakan pancutan air dari tangki jentera bomba sebelum ia dapat dikawal jam 1.24 petang.
Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Hitam, PBS Kodiang, PBS Tunjang dan PBS Sanglang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!