Ditangkap jika berada di luar rumah lepas 8 malam
KUALA TERENGGANU - Polis akan menangkap individu yang didapati masih berada di luar rumah selepas jam 8 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang masih berdegil kecuali kecemasan.
"Sudah hampir sebulan PKP dilaksanakan, kita lihat masih ada memberi alasan tidak logik sebagai seperti mahu beli air, makanan, barangan dan sebagainya walaupun masing-masing sudah tahu premis perniagaan beroperasi sehingga jam 6 petang sahaja.
"Jadi bermula hari ini, kita tahan mana-mana individu yang berada di luar rumah mereka tanpa alasan kukuh selepas jam 8 malam kita akan tangkap," katanya.
Beliau bekata demikian pada majlis penyerahan 50 payung untuk sekatan jalan raya oleh ExxonMobil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Terengganu di sini hari ini.
Sementara itu, Roslee berkata, pihaknya mendapati terdapat pertambahan kenderaan sehingga 9,000 sejak semalam.
"Pertambahan itu mungkin disebabkan beberapa premis perniagaan yang sudah dibenarkan beroperasi seperti bengkel kereta dan peralatan pertukangan.
"Sebelum ini, jumlah kenderaan di atas jalan di negeri ini sepanjang PKP antara 5,000 hingga 6,000 kenderaan sahaja," katanya ketika diminta mengulas mengenai gambar tular menunjukkan kesesakan lalu lintas di negeri ini
Menurutnya, meskipun pihaknya menerima pelbagai alasan yang dianggap munasabah, tetapi diharap rakyat di negeri ini jujur dengan diri sendiri.
"Sehingga hari ini, sebanyak 134 kompaun ingkar PKP dikeluarkan sejak 8 April ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!