[DIKEMASKINI] Bekalan darah berkurangan setiap Ramadan
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai menderma darah bagi menampung keperluan menjelang Ramadan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai boleh mengunjungi Pusat Darah Negara, klinik kesihatan ataupun hospital bagi tujuan tersebut.
Menurutnya, selain mengunjungi fasiliti kesihatan tersebut, orang ramai boleh menderma darah di ruang derma darah yang ditetapkan di kawasan tumpuan.
"Memang ada kekangan. Setiap Ramadan simpanan bekalan berkurangan. Di pusat membeli-belah Midvalley dan Putrajaya juga ada disediakan kemudahan untuk derma darah.
"Saringan kesihatan akan dilakukan terhadap penderma bagi mematuhi prosedur yang ditetapkan bagi memastikan penderma sihat dan bebas daripada penyakit berjangkit," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.
Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, plasma darah daripada pesakit Covid-19 akan digunakan untuk merawat pesakit kritikal.
"Ujian keberkesanan perlu dilakukan sebelum digunakan ke atas pesakit Covid-19 tapi setakat ini, masih dalam peringkat penyelidikan awal dan masih awal untuk kata plasma boleh guna kepada pesakit kita.
Kementerian perlukan plasma dan gunakan antibodi yang dibina oleh pesakit dan kita gunakan pada pesakit tahap kelima yang terpaksa bergantung kepada bantuan pernafasan di wad ICU," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!