Shahrel Fikri tekad cabar awang import
SELEPAS menampilkan rentak permulaan cemerlang musim ini, Shahrel Fikri Fauzi tekad mahu memberikan cabaran sengit kepada barisan penyerang import untuk memburu status selaku penjaring terbanyak Liga Super 2020.
Penyerang Perak berusia 25 tahun itu adalah satu-satunya pemain tempatan yang berjaya menjaringkan tiga gol dalam empat perlawanan sebelum Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan pada 16 Mac lepas berikutan penularan Covid-19.
Penyerang import Terengganu FC dari Mauritania, Dominique Da Sylva muncul penjaring terbanyak dengan empat gol manakala Kpah Sherman (Kedah), Ivan Carlos (Pahang) dan Ifedayo Omosuyi (Selangor) masing-masing menjaringkan tiga gol.
Berdasarkan prestasinya, Shahrel Fikri berasa tidak mustahil untuknya cuba mengatasi penguasaan awang import tahun ini dengan memastikan dia terus diberi kepercayaan sebagai tonggak utama The Bos Gaurus.
“Saya memang tidak sangka sekarang saya satu-satunya pemain tempatan yang berada dalam kelompok penjaring kedua terbanyak bersama pemain import lain, namun ini masih awal dan saya tidak boleh berasa selesa.
“Sekarang saya bersama Guilherme De Paula diberi kepercayaan selaku penyerang utama dan saya akan gunakan peluang itu sebaik mungkin untuk menjaringkan gol,” katanya.
Shahrel percaya rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Safawi Rasid yang juga bintang Johor Darul Ta'zim (JDT) antara pemain tempatan yang mampu memberikan cabaran sebagai penyerang terbaik musim ini.
Kali terakhir Kasut Emas dimenangi pemain tempatan adalah pada musim 2011 menerusi pemain Terengganu, Abdul Hadi Yahya yang meraih anugerah itu selepas menjaringkan 20 gol.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!