Stesen pemancar 5G di dua pusat kuarantin Covid-19: TM
KUALA LUMPUR - Telekom Malaysia Berhad (TM) telah memasang stesen pemancar 5G di dua pusat kuarantin Covid-19 di Selangor bagi menyediakan akses WiFi percuma menerusi rangkaian 5G buat pengguna di situ.
Pemasangan secara percuma itu melibatkan 50 unit terminal Akses Wayarles Tetap 5G di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang, dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia, Sungai Buloh, baru-baru ini akan memberikan sambungan WiFi sehingga 500Mbps kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu, stesen pemancar berkenaan membolehkan pasukan barisan hadapan, perubatan serta pesakit yang dimasukkan ke pusat kemudahan tersebut menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang dipertingkatkan menerusi sambungan 5G.
"Dengan kecekapan dan kemudahan sambungan 5G, pasukan barisan hadapan dan perubatan akan dapat kekal produktif dalam operasi mereka, untuk bertindak terhadap sebarang situasi kecemasan dan memberikan rawatan yang diperlukan; sementara para pesakit pula dapat kekal berhubung dengan keluarga dan yang tersayang, sepanjang mereka berada di pusat kuarantin itu.
"Pelaksanaan stesen pemancar 5G ini juga menggambarkan kepakaran dan keupayaan kami dalam membawakan perkhidmatan 5G kepada rakyat Malaysia, di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Kamarul berkata, inisiatif berkenaan adalah lanjutan kepada penglibatan TM dalam Projek Demonstrasi 5G (5GDP) di Langkawi dan Subang Jaya baru-baru ini.
“Kami akan terus mencari lebih banyak cara untuk kami membantu mengurangkan impak pandemik ini kepada ekonomi serta pelanggan kami, anggota pasukan barisan hadapan dan golongan yang memerlukan sambil memastikan perkhidmatan kami terus diberikan tanpa sebarang gangguan,” katanya.
Noor Kamarul berkata, TM mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), atas kepercayaan dan bantuan yang diberikan sepanjang proses perancangan hingga pelaksanaan yang diselesaikan hanya dalam masa beberapa hari sahaja.
“Kami akan terus membina asas kepada Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan pelaksanaan 5G di seluruh negara untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan gaya hidup yang lebih digital, perniagaan dan vertikal industri digital serta kerajaan digital ke arah mempertingkatkan kualiti hidup rakyat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!