KKMM laksana pelbagai usaha bantu karyawan seni tempatan
KUALA LUMPUR - Pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk memastikan penggiat dan karyawan seni kreatif tempatan mampu menjana pendapatan dan menjaga kebajikan mereka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.
Menurutnya, kementerian amat mengambil berat terhadap nasib mereka yang terkesan dari segi ekonomi berikutan wabak Covid-19 yang melanda.
Sebagai langkah awal, Saifuddin berkata, beliau telah bertemu wakil persatuan-persatuan karyawan seni dan kreatif tempatan pada 26 Mac lalu menerusi sidang video bagi mendengar dan memahami masalah yang dihadapi dan cadangan penyelesaian serta membawa suara mereka ke mesyuarat Jemaah Menteri.
“Bagi meringankan beban yang ditanggung, suntikan dana tambahan telah disalurkan kepada persatuan-persatuan yang dikenali pasti. Peruntukan ini adalah bagi membantu penggiat seni kelainan upaya, warga emas serta mereka yang terlantar sakit dan memerlukan bantuan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa meneliti pelaksanaan dasar dan program kerajaan untuk membantu sektor-sektor industri kreatif supaya terus berkembang dan membangun.
Saifuddin berkata, KKMM akan memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dan kandungan kreatif dapat dihasilkan melalui Dana Kandungan Digital (DKD) menerusi agensi-agensinya seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Bagi mencapai matlamat itu dan menggalakkan lebih banyak permohonan, Saifuddin berkata, Finas dan MDEC telah melanjutkan tarikh tutup permohonan DKD tahun ini kepada 15 Mei 2020.
“KKMM juga akan menetapkan semula tarikh tayangan filem yang terjejas akibat Covid-19. Saya akan mengarahkan Jawatankuasa Skim Wajib Tayang Finas mengadakan perbincangan bersama pihak pawagam dan mengumumkan mekanisme penentuan cadangan tayangan semula ini dengan segera,” katanya.
Bagi memacu semula pelaburan dalam sektor perfileman, Insentif Penggambaran Filem di Malaysia telah ditambah baik dengan kerajaan menurunkan kadar Kelayakan Perbelanjaan Produksi dalam Malaysia bagi penerbit tempatan kepada RM1.5 juta.
Menurut kenyataan itu lagi, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bahagian Pembangunan Kandungan (BPK) telah melancarkan program ‘Nyanyi dari Rumah’ dan ‘Muzik dari Rumah’ bagi membantu penyanyi termasuk buskers yang tidak dapat menjana pendapatan akibat pembatalan program-program berkaitan.
Sementara itu, Saifuddin berkata, KKMM turut menerima banyak permohonan dan cadangan untuk membenarkan sesi penggambaran dilakukan dan karyawan seni untuk keluar bekerja.
“Walaupun terdapat perkembangan positif dalam usaha negara memerangi Covid-19, keadaan masih belum seratus peratus pulih. Nyawa dan keselamatan semua rakyat Malaysia harus diberi keutamaan,” katanya sambil menambah beliau akan mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.
Saifuddin turut mengalu-alukan cadangan dan pandangan bernas daripada semua pihak untuk bersama-sama membantu industri tempatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!