Semak cecair pembasmi kuman di laman sesawang, aplikasi NPRA

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pengguna disaran menyemak dengan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum membeli produk cecair pembasmi kuman, terutama secara dalam talian.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penguatkuasa Farmasi Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Melaka, Mohd Hafiz Abdul Seddek berkata, semakan bertujuan memastikan produk itu mampu melindungi diri daripada jangkitan koronavirus (Covid-19).

"Pengguna boleh membuat semakan itu melalui laman sesawang NPRA pautan www.npra.gov.my atau dengan memuat turun aplikasi NPRA di telefon pintar," katanya dalam Facebook Live oleh JKN Melaka di sini hari ini.

Menurutnya, produk cecair pembasmi kuman dikategorikan kepada dua iaitu kategori kosmetik yang melalui proses notifikasi dan kategori ubat am yang perlu didaftarkan dengan KKM.

"Pengguna juga sebaiknya menyemak nombor notifikasi kosmetik yang bermula dengan NOT atau bagi yang dikategori sebagai ubat am berdaftar KKM bermula dengan nombor pendaftaran MAL.

"Cecair pembasmi kuman juga terbahagi kepada produk mengandungi alkohol atau bebas alkohol namun disarankan penguna memilih produk yang sekurang-kurangnya mengandungi kepekatan melebihi 60 peratus (alkohol)," katanya.

Mohd Hafiz berkata, bagi pembelian secara dalam talian, pengguna perlu mengambil langkah berhati-hati termasuk memastikan peniaga berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan turut menasihatkan peniaga supaya tidak menggunakan taktik iklan yang melampaui takrifan kosmetik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!