Thailand terus catat penurunan jumlah jangkitan
BANGKOK - Semasa penduduk Thailand meraikan sambutan Tahun Baharu Tradisional di rumah masing-masing hari ini dalam usaha menyekat pandemik koronavirus (Covid-19), negara itu mencatatkan penurunan dalam jumlah kes jangkitan hariannya.
Thailand hari ini merekodkan 28 kes baharu Covid-19 dan dua kematian, menjadikan jumlah kes kini menjangkau 2,518 dengan 40 kematian dan hari ini merupakan hari kelima berturut-turut menyaksikan jumlah kes penyakit itu pada trend menurun.
Sehingga kini, 1,288 pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thailand, Thaweesilp Wissanuyothin berkata, kes kematian terbaharu melibatkan dua lelaki Thailand masing-masing berumur 56 dan 43 tahun.
"Kita tidak sepatutnya berpuas hati dengan situasi semasa kerana keadaan sebenarnya masih tidak menentu," katanya pada taklimat harian Covid-19 hari ini.
Thaweesilp berkata, statistik menunjukkan sejak dua minggu lepas, sumber utama jangkitan baharu di negara itu 864 kes melibatkan kontak rapat dengan pesakit yang disahkan, 287 kes mereka yang kembali dari luar negeri dan 243 kes berkaitan dengan stadium muay thai.
Sementara itu jalan-jalan di Bangkok, termasuk Khao San Road yang biasanya sibuk dengan kunjungan ribuan orang termasuk pelancong asing dari seluruh dunia meraikan sambutan Songkran, kini kelihatan lengang.
Kerajaan Thailand mengumumkan sambutan Songkran tahun ini akan ditangguhkan sehingga notis selanjutnya, bagi membendung penularan pandemik Covid-19.
Sementara itu, semua aktiviti air semasa Songkran dihentikan tahun ini, manakala pihak berkuasa yang berkaitan berterusan menggesa orang ramai supaya mengelak daripada melakukan perjalanan jauh di samping mengelak perhimpunan atau aktiviti berkumpulan dalam usaha mencegah penularan penyakit itu.
Selain itu, semua kuil ditutup dan aktiviti keagamaan ditangguhkan semasa Songkran. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!