'Tak fikir risiko, memandu tanpa lesen'
KUALA LANGAT - Langsung tidak memikirkan risiko bakal menimpa dengan menggadaikan nyawa memandu kenderaan tanpa lesen.
Itu kesalahan utama yang dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Kuala Langat dalam operasi khas di pekan Telok Panglima Garang, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, operasi selama dua jam bermula jam 9 malam itu telah memeriksa seramai 137 orang dengan 133 buah kenderaan.
Menurutnya, antara kenderaan yang diperiksa adalah kereta (40 buah), motosikal (90 buah) dan lori (3 buah).
“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 118 kesalahan telah dilakukan.
“Seramai 33 orang dikesan tidak memiliki lesen memandu, diikuti kesalahan dalam nombor pendaftaran (22), cukai jalan (20), langgar lampu isyarat (19), tiada cermin sisi (8), tidak memakai topi keledar (7), tidak memaparkan lesen L dan P (3), tidak memakai tali pinggang keselamatan (2), lampu brek rosak (2) dan ubahsuai ekzos (2),” katanya kepada Sinar Harian.
Azizan berkata, kebanyakan mereka yang ditahan dan disaman tidak mempunyai lesen adalah membabitkan kalangan remaja bawah umur.
Katanya, polis melihat golongan ini mengambil risiko yang membahayakan diri dan penunggang lain.
“Saya menganggap ini satu isu yang perlu diberikan perhatian khususnya para ibu bapa supaya tidak sewenang-wenangnya membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen. Polis akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berterusan bertujuan untuk mendidik masyarakat dalam usaha mengurangkan kadar kes trafik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!