250 pelajar Malaysia di Madinah mahu pulang

Sebahagian pelajar dari Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah (UIM).
Sebahagian pelajar dari Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah (UIM).
A
A
A

ALOR SETAR - Seramai 250 pelajar dari Universiti Islam Madinah (UIM) merayu agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan hasrat mereka untuk pulang ke Malaysia.

Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Malaysia Arab Saudi (Persada) cawangan Madinah, Mohamad Irfan Fahmi Ea’dil, 26, berkata, mereka telah membuat rayuan untuk pulang ke tanah air selepas peperiksaan akhir pada awal April lalu, namun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak membenarkan.

Menurutnya, sehubungan itu pihaknya sekali lagi merayu pada 11 April lalu dengan mengutus surat rayuan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Abdullah.

“Susulan dari surat bertarikh 3 April yang tidak benarkan kami pulang, Persada telah hantar surat kedua untuk merayu dan bantu kami agar dapat pulang ke Malaysia. Kebimbangan ini bukan sahaja dirasai pelajar di sini, tetapi turut dirasai keluarga di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohamad Irfan berkata, tindakan itu diambil susulan bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 di Madinah, Riyadh, Mekah dan Jeddah yang meningkat secara mendadak.

“Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Arab Saudi (12 April), 429 kes baharu direkodkan berbanding 153 kes di Malaysia, manakala kes kematian 59 orang. Kematian terbaharu di Arab Saudi seramai tujuh orang berbanding Malaysia tiga orang,” katanya.

Menurutnya, pelajar turut melahirkan kebimbangan apabila jumlah pesakit baharu yang sembuh di Arab Saudi hanya 41 orang, berbanding di Malaysia sebanyak 113 orang.

Sehubungan itu, pelajar semester enam, Pengajian Dakwah Usuluddin UIM yang berasal dari Rawang, Selangor ini berharap permohonan mereka dapat dipertimbangkan untuk pulang ke tanah air.

Artikel Berkaitan:

Sementara, rakannya, Hathim Adly Shahrin, 25, pelajar semester enam program Syariah berkata, kesemua pelajar ditempatkan di UIM dan tidak dibenarkan keluar.

“Pintu pagar universiti sentiasa ditutup, pelawat atau urusan dari luar juga tidak dibenarkan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!