[DIKEMASKINI] MFL belum bayar elaun pengadil?

Ada pengadil mendakwa belum menerima elaun sejak bulan Jun lalu.
Ada pengadil mendakwa belum menerima elaun sejak bulan Jun lalu.
A
A
A

[DIKEMASKINI] LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) didakwa masih belum melunaskan elaun pengadil yang bertugas pada saingan Piala Malaysia 2019 serta Piala FA tahun ini.

Dakwa sumber kepada Sinar Harian, badan pentadbir Liga Malaysia itu juga gagal membayar elaun pengadil yang bertugas dalam Liga M3 sejak Jun tahun lalu.

“Masalah pembayaran elaun itu telah dibawa dalam Mesyuarat FAM namun masih belum diselesaikan sehingga sekarang.

“Kalau hanya satu perlawanan belum dibayar masih tak apa tetapi ini sudah melibatkan sehingga tujuh ke lapan perlawanan.

“Satu perlawanan elaun boleh mencecah RM1,000 termasuk elaun tugasan serta tuntutan penginapan, perjalanan dan makan minum.

“Untuk tuntutan penginapan, perjalanan dan makan minum itu menggunakan duit pengadil sendiri dahulu dan sepatutnya pasukan yang menjadi tuan rumah bayar balik kepada kami menggunakan duit geran diberikan FAM tetapi sampai sekarang belum dibayar balik,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, keadaan itu mengundang kesukaran terutamanya kepada pengadil sepenuh masa yang hanya mengharapkan pendapatan hasil daripada tugasan perlawanan.

“Dalam keadaan sekarang tiada perlawanan akibat daripada pandemik koronavirus (Covid-19), ia tambah menyukarkan lagi kepada pengadil sepenuh masa.

Artikel Berkaitan:

“Jika MFL dapat membayar tunggakan elaun itu, maka ia sedikit sebanyak akan melegakan pengadil yang terjejas. Ini bukan isu terpencil dan melibatkan ramai pengadil seluruh negara yang belum dibayar,” dakwanya.

Terdahulu, pada laporan awal Sinar Harian sebentar tadi melaporkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai badan yang bertanggungjawab melunaskan pembayaran kepada pengadil terlibat.

Bagaimanapun, selepas mendapatkan pengesahan FAM, MFL sebenarnya yang bertanggungjawab menguruskan pembayaran elaun pengadil tersebut.

FAM hanya menguruskan mengenai elaun pengadil Piala Belia, Piala Presiden dan Liga Futsal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!