SUNGAI PETANI - Seorang lelaki cedera parah kerana ditetak dengan parang oleh jiran sebelah rumahnya yang juga seorang pesara polis selepas berlaku pertengkaran berikutan mangsa didakwa membuat bising dalam kejadian di Taman Kempas, kira-kira 8.30 malam tadi. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang berusia 26 tahun ditetak lelaki berusia 63 tahun itu yang datang ke rumah mangsa dengan mendakwa mangsa membuat bising seperti menendang dinding rumah. "Suspek datang ke hadapan rumah mangsa sambil berteriak marah dan menuduh mangsa membuat bising. Mangsa ketika itu sedang bermain alatan gim di ruang tamu dengan bunyi agak bising akibat hempasan alat gim itu ke lantai "Dia kemudian keluar rumah lalu berlaku pertengkaran dengan suspek. Mangsa dikatakan cuba menumbuk muka jirannya itu dan suspek menggunakan parang untuk mempertahankan diri. Bagaimanapun, parang tersebut terkena pada tangan mangsa," katanya. Menurutnya, pesara polis itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani dengan membawa bersama parang yang digunakan semasa kejadian berkenaan. Punca kejadian dilaporkan apabila suspek tidak berpuas hati dengan bunyi bising yang kerap kedengaran dari rumah mangsa. Akibat kejadian, mangsa cedera di tepi tapak tangan, lengan dan bahu sebelah kiri serta tulang lengan kiri patah akibat tetakan itu. Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan pada tulang tangan kiri. Beliau berkata, suspek telah ditangkap bersama sebilah parang panjang berukuran lebih kurang tiga kaki dirampas dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Kes berkenaan telah tular di media sosial beberapa jam selepas kejadian.