Caruman wajib KWSP dilanjutkan lagi hingga 30 April
SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melanjutkan lagi tarikh bayaran caruman wajib untuk gaji bulan Mac hingga 30 April ini.
Ketua Pegawai KWSP, Alizakri Alias berkata, tarikh baharu lanjutan bayaran caruman untuk April itu dibuat setelah menerima permintaan daripada majikan.
"Lazimnya, majikan diwajibkan membuat bayaran caruman KWSP sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan.
"Semalam, KWSP telah mengumumkan bahawa tarikh bayaran untuk bulan April ini dilanjutkan ke 24 hari bulan.
"Walau bagaimanapun, setelah menerima maklum balas dan permintaan yang tinggi dari pihak majikan, Lembaga KWSP telah sebulat suara bersetuju untuk melanjutkan lagi tarikh bayaran caruman sehingga akhir bulan ini," katanya.
Majikan boleh membuat bayaran caruman tersebut melalui portal i-Akaun (Majikan) dalam laman sesawang KWSP, perbankan internet ataupun di kaunter bank yang dilantik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!