Turki umum teruskan perintah berkurung
ANKARA - Kerajaan Turki memutuskan untuk meneruskan perintah berkurung pada hujung minggu selama dua hari bermula 18 April bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19), lapor agensi berita Anadolu.
Perkara itu diumumkan Presiden Recep Tayyip Erdogan selepas mesyuarat Kabinet maya selama tiga jam.
Beliau berkata, langkah-langkah akan diambil untuk mengelakkan gangguan yang tidak perlu di sesetengah tempat sebaik perintah berkurung berkuat kuasa.
"Turki akan menyiapkan (pembinaan) hospital baharu untuk pesakit Covid-19 di Basaksehir Istanbul pada 15 Mei," katanya sambil mengumumkan penubuhan dua lagi hospital baharu di Istanbul yang dilengkapi 350 katil.
Erdogan menegaskan Turki menyaksikan kemajuan ketara dalam mengawal wabak itu, negara tidak menghadapi kesukaran untuk menyediakan kemudahan kesihatan dan kelengkapan pembersihan.
Presiden Turki juga menolak sebarang perancangan membuat pinjaman dengan IMF semasa pandemik.
Setakat Isnin, angka korban di Turki seramai 1,296 orang dengan hampir 61,049 kes jangkitan. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!