KWP tubuh pasukan petugas tumpu isu gelandangan di KL
KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menubuhkan pasukan petugas (task force) khusus untuk mengendalikan isu berkaitan gelandangan di Kuala Lumpur.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, lebih 800 gelandangan diselamatkan dan ditempatkan di beberapa pusat gelandangan termasuk Anjung Singgah, Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang dan beberapa lokasi sementara lain.
Menurutnya, pasukan petugas itu ditubuhkan supaya perhatian terperinci dan khusus dapat diberikan kepada golongan gelandangan.
Tambahnya, ia juga selepas pihaknya memikirkan bagaimana kebajikan golongan gelandangan apabila bulan Ramadan dan Syawal semakin menghampiri.
“Kita fikirkan bagaimana gelandangan ini hendak bersahur dan berbuka nanti serta apakah aktiviti untuk mereka isi masa lapang. Saya berpandangan tidak memadai urusan gelandangan dibincang di peringkat Pusat Pengurusan Krisis (CMC) secara harian kerana banyak isu lain akan dibincangkan.
“Oleh itu, saya memutuskan wujudkan pasukan petugas berasingan khusus untuk kendalikan hal berkaitan gelandangan supaya perhatian terperinci dan khusus diberikan,” katanya menerusi sidang media secara live di Facebooknya.
Annuar berkata, ada beberapa perkara akan diuruskan oleh pasukan petugas berkenaan termasuk memastikan dua asrama yang dibina bagi memuatkan 500 orang gelandangan siap pada waktunya.
Katanya, pasukan itu juga perlu menganjurkan program bimbingan khusus untuk gelandangan sebelum golongan itu menempuhi alam pekerjaan kerana ada yang tidak sesuai bekerja dan perlukan bimbingan.
“Program ini akan diselaraskan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah berjuang bersama-sama dalam menangani isu gelandangan.
“Pasukan ini akan bermesyuarat setiap hari dan mendapatkan maklumat secara terperinci supaya perancangan jangka pendek dan panjang dapat dibuat seperti mana yang kita rancangkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!