Beri alasan nak cari kerja!
KUALA SELANGOR - Tindakan tiga lelaki warga asing yang memberi alasan sedang mencari kerja di kawasan berhampiran Pasar Basah Pasir Penambang di sini semalam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengundang padah.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria berkata, tangkapan dibuat anggotanya semasa penugasan Op Covid-19 kira-kira jam 6 petang.
"Operasi terbabit telah mengesan empat lelaki yang mencurigakan di kawasan terbabit.
"Ketika anggota menghampiri untuk pemeriksaan, seorang daripada lelaki terbabit telah melarikan diri. Sebuah motosikal dan satu telefon bimbit telah dirampas," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Semakan mendapati tiga lelaki yang ditahan itu adalah warga Indonesia berusia lingkungan 24 hingga 47 tahun.
Hasil soal siasat, mereka datang dari Shah Alam ke kawasan terbabit untuk mencari pekerjaan.
"Kesemua yang ditangkap disiasat di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!