'Unjuran ekonomi diumum sangat 'lunak' dan tidak munasabah'
KUALA LUMPUR - Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2021 diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini bersifat sangat 'lunak' dan tidak munasabah.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau sangat gusar di atas pengumuman itu susulan beberapa pakar penyelidik ekonomi tempatan dan antarabangsa mengemukakan analisis unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2020 dijangka menguncup -1 hingga -4.6 peratus kesan pandemik koronavirus (Covid-19).
Menurutnya, keyakinan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini terkait ramalan bahawa Malaysia akan segera pulih kepada pertumbuhan 5.8 peratus pada tahun 2021 ternyata bermasalah, jika mengambil kira capaian penuh impak Covid-19 dan bagaimana ia akan memberi kesan ke atas kuasa-kuasa ekonomi yang berkait dengan Malaysia.
"Kita tahu bahawa sejumlah besar kelas pekerja di Malaysia mempunyai kira-kira satu bulan simpanan untuk menempuh krisis ini, menurut kajian dan laporan oleh Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).
"Menurut Jabatan Perangkaan pula, 35 peratus yang bekerja sendiri akan hilang sekurang-kurangnya 90 peratus dari jumlah pendapatan mereka dan tambahan 46 peratus yang akan terus hilang kerja sekali gus.
"Dalam saat serba mencabar seperti hari ini, kepimpinan yang berwibawa bermaksud mengurus krisis dengan penilaian yang jujur dan berfakta dan bukan dengan memberi gambaran palsu dan bersifat selektif," katanya pada sidang akhbar secara langsung melalui laman sosial Facebooknya hari ini.
Anwar berkata, pihaknya turut bimbang bahawa tahap perbelanjaan pakej rangsangan diumumkan baru-baru ini sehingga kini belum memadai untuk merapatkan jurang pendapatan bagi melindungi warga dari ketidakjaminan makanan dan kebuluran terutamanya kanak-kanak.
Menurutnya, pembalikan pertumbuhan ekonomi ini memerlukan dua perkara iaitu penilaian jujur kerajaan terhadap masalah dihadapi kita hari ini serta perencanaan luar biasa yang harus mencakupi ekonomi domestik terutamanya sejumlah besar rakyat Malaysia dan peniaga-peniaga kecil yang tidak mempunyai simpanan cukup bagi menepis kegawatan ini.
"Setelah meneliti laporan dan capaian impak Covid-19 ke atas Malaysia, saya menggesa kepimpinan hari ini lebih berhemah dan mendasar dalam perencanaan mereka.
"Gesaan saya ini adalah setelah mengambil kira kejatuhan harga minyak dan harga komoditi kita termasuk dampak berterusan kepada rakan-rakan dagang terpenting seperti China, Amerika Syarikat dan rakan-rakan kita di rantau ASEAN.
"Tambahan pula, dengan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, saya menggesa agar ketelusan dapat dijamin dalam pembayaran melalui peruntukan dana Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) kepada rakyat terkesan dan peniaga-peniaga kecil terhimpit dengan kemelut ini," katanya.
Anwar berkata, dalam konteks ini, PH sekali lagi menyeru agar satu sesi khas Parlimen diadakan bagi membincangkan permasalahan negara berkaitan kesan Covid-19 secepat mungkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!