Sultan Johor titah tangguh semua aktiviti masjid
JOHOR BAHRU - Sultan Johor berkenan melanjutkan tarikh penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu dan semua aktiviti masjid serta surau di negeri ini sehingga 28 April ini berikutan penularan koronavirus (Covid-19).
Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga memperkenankan solat tarawih di masjid dan surau ditangguhkan sepanjang tempoh itu atau sehingga ketetapan baharu daripada kerajaan.
"Baginda turut bertitah, penangguhan itu termasuk aktiviti memasak bubur lambuk di masjid ketika puasa dan solat sunat Aidilfitri.
"Hanya tiga pegawai masjid iaitu imam, bilal dan noja yang dibenarkan melaksanakan laungan azan dan solat berjemaah lima waktu serta solat tarawih di masjid," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu Sultan Johor berkenaan bertemu Mufti Johor di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini untuk mendapatkan perkenan baginda mengenai perkara itu.
Katanya, bagi menghidupkan syiar Ramadan, masjid dan surau dibenar mengguna pembesar suara bagi mengumandangkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran 10 minit sebelum azan waktu Maghrib serta bacaan al-Quran dan tarhim 15 minit sebelum Subuh.
Selain itu katanya, Sultan Ibrahim turut menasihatkan pasangan pengantin supaya bersabar dan menangguhkan majlis nikah serta mengingatkan tidak berkumpul beramai-ramai di rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!