Polis tidak kompromi lagi alasan tak munasabah

Soffian sedang menyoal salah seorang pemandu dalam sekatan jalan raya di Jalan Perak di sini hari ini.
Soffian sedang menyoal salah seorang pemandu dalam sekatan jalan raya di Jalan Perak di sini hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis tidak akan berkompromi dengan alasan tidak munasabah yang diberikan orang awam ketika disoal dalam sekatan jalan raya sepanjang fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis tidak lagi sewenang-wenangnya menerima alasan seperti membeli makanan atau keperluan seperti sebelum ini.

Menurutnya, polis juga akan mengiringi mereka yang memberi alasan membeli makanan untuk ibu bapa di rumah untuk memastikan sama ada ia benar atau sebaliknya.

"Esok kita akan memasuki fasa ketiga PKP dan polis akan lebih tegas. Alasan-alasan yang tidak kukuh seperti membeli makanan, keperluan, pergi bank, dapatkan rawatan, menghantar makanan atau sebagainya tidak lagi akan diterima.

"Ini kerana kita mendapati ada yang tidak bertanggungjawab hanya memberi alasan seperti itu untuk dilepaskan daripada sekatan jalan raya sehingga jumlah kenderaan bertambah pada penghujung fasa kedua PKP ini. Selepas ini polis akan lebih tegas," katanya kepada media di sekatan jalan raya di Jalan Perak di sini hari ini.


Sekatan jalan raya akan diadakan 24 jam setiap hari sepanjang fasa ketiga PKP.
Sekatan jalan raya akan diadakan 24 jam setiap hari sepanjang fasa ketiga PKP.

Tambahnya, polis akan lebih terperinci dengan setiap alasan yang diberi iaitu dengan pemeriksaan alamat rumah dengan destinasi yang hendak dituju.

"Jika mereka beritahu hendak beli makanan, kita akan periksa alamat rumah. Jangan pula yang tinggal di Farlim, tetapi nak beli makanan di Tanjung Tokong. Tak akan di Farlim tidak ada kedai makan. Kita tidak mahu mereka guna alasan tidak kukuh ini sebagai peluang mereka untuk keluar rumah dan dilepaskan dari sekatan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Ini tidak adil kepada mereka yang benar-benar mematuhi PKP dengan duduk di rumah. Sehubungan itu, mereka yang tidak ada alasan kukuh dan didapati menaiki kenderaan melebihi seorang, kita terus akan kompaun. Kita juga akan mengadakan 'snap check' antara jam 10 pagi hingga 2 petang dan 2 hingga 6 petang," katanya.

Beliau turut menasihati membawa ibu bapa yang sudah berusia supaya tinggal bersama sepanjang PKP ini.

"Mereka yang ada ibu bapa yang perlu dihantar makanan setiap hari, bawa lah ibu bapa anda tinggal bersama bagi mengelak kerap keluar untuk menghantar makanan. Semalam, kita mengeluarkan lima kompaun di sekatan jalan raya di Jalan Pangkor kerana memberi alasan membeli makan untuk ibu bapa.

"Di daerah Timur Laut, sebanyak lima sekatan jalan raya diadakan setiap hari selama 24 jam. Setakat semalam, 39 orang telah dikompaun kerana pelbagai kesalahan termasuk memberi alasan tidak kukuh ketika disoal dalam sekatan jalan raya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!