Lebih 1.4 juta permohonan i-Lestari KWSP

Keterangan gambar - Kenyataan dikeluarkan KWSP hari ini.
Keterangan gambar - Kenyataan dikeluarkan KWSP hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini boleh membuat Pengeluaran i-Lestari (Pengeluaran Akaun 2) melalui kemudahan i-Lestari Online yang dilancarkan hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Alizakri Alias berkata, sejak diumumkan awal bulan ini, KWSP menerima lebih 1.4 juta permohonan Pengeluaran i-Lestari setakat jam 6 petang semalam.

Menurutnya, jumlah permohonan tinggi menyebabkan portal i-Akaun KWSP menerima permintaan untuk mengakses ke laman web secara purata 60,000 hingga 70,000 seminit meningkat 15 kali ganda berbanding 4,000 hingga 7,000 seminit pada hari biasa.

Beliau berkata, KWSP menerima emel pertanyaan berkenaan Pengeluaran i-Lestari secara purata 20,000 sehari dan sehingga kini lebih 700,000 permohonan telah diluluskan dan pengkreditan ke akaun pemohon bermula pada 4 Mei lalu.

“Untuk menangani peningkatan jumlah akses trafik dalam talian yang luar biasa ketika ini, kami telah meningkatkan kapasiti pelayan dan sistem beberapa kali ganda.

“Kemudahan Pengeluaran i-Lestari Online ini mengambil masa satu minggu untuk dibangunkan dan ia adalah usaha sepenuhnya oleh sumber dan anggota KWSP berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan KWSP mendapatkan kepakaran dan perunding luar.

“Kami cukup terkesan dengan pengalaman sukar dialami ahli untuk tempoh dua minggu lalu dan mendorong kami untuk membangunkan kemudahan ini dalam masa singkat," kata Alizakri dalam satu kenyataan hari ini.

Alizakri berkata, KWSP memohon maaf dan mengucapkan ribuan terima kasih atas kesabaran ahli dan akan berusaha lebih gigih memberi perkhidmatan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!