KWP nafi DBKL lulus 66 lokasi bazar Ramadan
KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menafikan dakwaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan 66 lokasi bagi penganjuran bazar Ramadan tahun ini.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kenyataan tersebut adalah ‘filem lama’ yang dikitar semula untuk mengelirukan orang ramai.
Menurutnya, hasil perbincangan dengan semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), DBKL, Perbadanan Putrajaya dan Labuan diputuskan tiada bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini.
“Saya tegaskan sekali lagi, kita sepakat dan bersetuju tidak ada bazar Ramadan tahun ini. Semalam hasil pertemuan dengan lebih 100 persatuan peniaga dan penjaja kita juga bersetuju apa-apa bayaran, deposit dan sebagainya yang sudah dibuat tahun ini akan dibawa ke tahun depan.
“Jadi, tahun depan peniaga tak perlu bayar apa-apa yang baru,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, DBKL dan pihak perbadanan akan membentangkan perincian pelaksanaan bazar Ramadan secara pandu lalu serta tempah dan ambil dalam mesyuarat jawatankuasa peringkat menteri Khamis ini.
Menurutnya, antara perincian yang akan dibentangkan termasuklah lokasi, jumlah peniaga dan kaedah pelaksanaan.
Katanya, sebelum ini beliau sendiri telah membentangkan konsep perancangan itu, namun perinciannya akan dibentangkan Khamis ini.
"Ramai menteri dan agensi mahu tahu apa yang hendak dilaksanakan, kalau secara pandu lalu bagaimana susun atur gerainya berapa orang boleh berniaga dan adakah menepati kriteria penjarakan sosial.
"Begitu juga konsep tempah dan ambil, ada dua kaedah. Pertama, makanan ditempah diambil sendiri pelanggan di lokasi tertentu, kedua diambil oleh pemandu e-hailing dan dihantar kepada pembeli," katanya.
Terdahulu, Annuar memaklumkan kementerian memperkenalkan konsep pandu lalu, bungkus dan ambil dan e-panggilan bagi menggantikan bazar Ramadan yang dibatalkan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!