AKPK tidak pernah lantik ejen beri nasihat kewangan

Junainah Ahmad Esa
Junainah Ahmad Esa
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) tidak pernah melantik sebarang ejen dalam memberi nasihat kewangan dan semua perkhidmatan ditawarkan agensi itu kepada individu adalah percuma.

Ketua Cawangan AKPK Kuala Terengganu, Junainah Ahmad Esa berkata, penangguhan bayaran bulanan hutang selama enam bulan sama ada oleh AKPK atau institusi kewangan juga adalah secara automatik dan tidak melibatkan mana-mana pihak ketiga.

“Justeru, jangan terpedaya dengan mana-mana pihak yang sentiasa mengambil kesempatan ke atas golongan yang alpa dan tidak berwaspada,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, walaupun 11 pejabat cawangan AKPK seluruh negara ditutup selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan agensi itu boleh mengisi borang Google di internet melalui capaian http://bit.ly/AKPKdmp2020 dan pegawai AKPK akan menghubungi pelanggan dalam masa terdekat.

Junainah berkata, AKPK telah meluluskan 1,242 permohonan penjadualan semula pinjaman di bawah Program Pengurusan Kredit AKPK (PPK) di seluruh negara sepanjang tempoh pelaksanaan PKP bermula 18 Mac 2020 sehingga 10 April 2020 lalu.

“Sebanyak 11,142 pertanyaan telah diajukan kepada AKPK melalui internet dan menerima 10,810 panggilan telefon sepanjang tempoh PKP dan majoriti soalan adalah berkaitan penangguhan bayaran bulanan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut meminta orang ramai belanja secara berhemah sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh krisis koronavirus (Covid-19) seperti pemotongan gaji, elaun atau perberhentian kerja.

Artikel Berkaitan:

Menurut Junainah, ketidakpastian tempoh sebenar PKP akan berakhir juga menjadi cabaran besar bagi mereka yang bekerja sendiri.

"Masyarakat dinasihatkan supaya menilai semula kedudukan kewangan terkini dan operasi perniagaan selain mengambil langkah segera untuk memastikan perniagaan berada di landasan lebih baik.

“Bagi penerima bantuan khas Covid-19 seperti skim Bantuan Prihatin Nasional (BPN), gunakanlah wang itu dengan cermat dan hanya membeli barangan keperluan asas sahaja seperti makanan, bayaran sewa rumah dan bil utiliti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!