Pihak guaman terima maklum balas kes Warga Mongolia dirogol

Mathew Thomas Philip
Mathew Thomas Philip
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak guaman Thomas Philip telah mendapat maklum balas ringkas daripada wakil Kedutaan Mongolia berhubung kes dua wanita Mongolia yang didakwa dirogol pegawai polis berpangkat Inspektor.

Pengasasnya, Mathew Thomas Philip berkata, kenyataan yang dibuat ini adalah untuk membantu mendapatkan prosiding undang-undang bagi pihak wanita Mongolia yang mendakwa diperlakukan sedemikian.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan pegawai polis itu menunjukkan penyalahgunaan kuasa, memalukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.

"Kita telah bekerja di bawah tekanan yang luar biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perbuatan yang didakwa dilakukan pegawai polis itu telah menjatuhkan reputasi PDRM.

"Kami bekerjasama rapat dengan pihak Kedutaan Mongolia untuk memberikan bantuan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.

Mathew berkata, pihaknya akan melakukan yang terbaik untuk membantu mencari keadilan.

"Pihak kedutaan Mongolia juga turut memohon perlindungan interim difailkan untuk lima warga Mongolia termasuk dua wanita itu dan berharap tiga rakan mangsa yang tidak terlibat dalam kes itu akan dibebaskan dengan serta-merta," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga mewakili pihak kedutaan Mongolia menasihatkan agar kedutaan itu membantu pihaknya bagi membuat permohonan yang diperlukan untuk visa khas dengan jabatan imigresen bagi warga Mongolia itu.

Artikel Berkaitan:

Mathew berkata, bagi pihak kedutaan itu beliau ingin menyampaikan penghargaan terhadap PDRM dan pelbagai pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam usaha menyelesaikan kes ini.

"Pihak kami yakin bahawa PDRM akan menjalankan penyiasatan menyeluruh, bebas dan telus dalam perkara ini.

"Diharap orang ramai dapat menghormati privasi mangsa dan mengelak daripada berkongsi gambar-gambar mereka secara dalam talian," katanya.