Lelaki catat kematian paling tinggi kerana aktiviti sosial

Sazaly Abu Bakar
Sazaly Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar virologi berpandangan bahawa gaya hidup dan aktiviti sosial mungkin menjadi faktor golongan lelaki merekodkan kadar kematian yang tinggi di dunia akibat jangkitan koronavirus (Covid-19) yang mula dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lalu.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, ini kerana penyakit Covid-19 berjangkit secara sosial.

“Kalau kita tengok data daripada Taiwan, tidak ada perbezaan lelaki dengan perempuan, malah di Taiwan lelaki adalah lebih kurang dijangkiti berbanding wanita.

"Itu tidak bermakna virus Covid-19 suka menjadikan lelaki sebagai perumah, tetapi ada kemungkinan lelaki di Malaysia lebih banyak sosial aktiviti.

“Sebab kalau kita tengok sebenarnya penyakit Covid-19 adalah penyakit yang menular secara sosial. Dia mengikut siapa yang terdekat dengan aktiviti sosial mereka. Mungkin lelaki lebih kerap aktiviti sosial yang mendedahkan mereka kepada jangkitan,” katanya pada Wacana Sinar Harian bertajuk Covid-19: Bila Malaysia Akan Pulih?

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan adakah virus Covid-19 mempunyai sifat lebih suka menjadikan golongan lelaki sebagai perumah memandangkan rekod menunjukkan kadar kematian lelaki lebih tinggi berdasarkan laporan dan statistik 'The Wall Street Journal' hujung Mac lalu.

Wacana siri ke-165 yang dikendalikan oleh Azlan Shah Nabees Khan bersama seorang lagi ahli panel, Timbalan Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Anjas Asmara Samsudin itu disiarkan secara langsung hari ini di Facebook Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Sinar Harian melaporkan Malaysia mencatatkan kadar peratusan kematian pesakit Covid-19 lelaki tertinggi di dunia berbanding negara-negara lain.

Berdasarkan statistik setakat semalam yang direkodkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah kematian pesakit Covid-19 di negara ini sudah mencecah 77 orang dengan 59 daripadanya melibatkan pesakit lelaki manakala 18 orang mangsa wanita.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh 'The Wall Street Journal' pula, peratusan kematian pesakit lelaki Covid-19 di Itali dan Denmark mencecah 71 peratus berbanding pesakit wanita 29 peratus.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan data di Amerika Syarikat (AS). Namun, berdasarkan laporan portal Vox Media, di New York sahaja setakat 9 April lalu berdasarkan angka kematian 6,200 orang, 60 peratus merupakan pesakit Covid-19 lelaki.

Jika berdasarkan peratusan tersebut dan statistik semasa di negara ini, peratusan kematian pesakit Covid-19 lelaki di Malaysia adalah yang paling tinggi di dunia berbanding dengan negara lain iaitu 76.6 peratus.

Dalam pada itu, Sazaly menjelaskan para saintis di dunia juga sedang mengkaji mengapa golongan kanak-kanak kurang dijangkiti oleh Covid-19 berbanding dewasa.

“Kalau kita tengok memang tengok kadar jangkitan lebih ramai orang dewasa dan awal dewasa, tetapi itu tidak bermakna ia tidak menjangkiti kanak-kanak.

“Ada juga kanak-kanak yang berumur sembilan tahun pun dijangkiti. Jadi itu adalah satu perkara yang menarik yang sedang dikaji oleh saintis, apakah sebabnya jangkitan kepada kanak-kanak tidak melibatkan jangkitan yang lebih serius,” katanya.

Bagaimanapun katanya, itu bukan bermakna bahawa kanak-kanak mempunyai daya tahan yang baik terhadap sebarang jenis virus.

“Banyak lagi jangkitan-jangkitan yang lain seperti itu. Contohnya kalau kita tengok penyakit kaki, tangan dan mulut. Penyakit itu menjangkiti kanak-kanak dan bukan kepada orang dewasa. Covid-19 ini terbalik iaitu menjangkiti lebih orang dewasa berbanding kanak-kanak.

“Ada faktor-faktor yang masih dalam kajian yang kita tidak tahu. Contohnya apabila virus itu ingin menjangkiti sel, dia mesti ada 'receptor' untuk virus itu datang melekat. Mungkin pada kanak-kanak, sebab dia belum matang lagi.

“Jadi, 'receptor' itu belum ada pada kadar yang banyak. Mungkin sebab itu mereka tidak dijangkiti dengan lebih mudah dan lebih serius. Tetapi semua itu masih perlukan kajian. Insya-ALLAH saya percaya dalam masa tidak lama lagi, pakar-pakar akan mengetahuinya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!