Pengorbanan demi kemenangan

A
A
A

KEPUTUSAN kerajaan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 3 selama 14 hari lagi disambut dengan berbagai reaksi dan tindak balas.

Bagi sebahagian pemilik perniagaan dan usahawan, tiada PKP bermakna mereka boleh segera menyambung operasi perniagaan.

Golongan petani, nelayan, pesawah dan pekebun kecil juga berharap mereka dapat kembali membanting tulang untuk mendapatkan pendapatan dan membeli barangan keperluan bagi memastikan ahli keluarga dan diri sendiri mampu meneruskan kehidupan.

Para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terpaksa kekal di kolej kediaman masing-masing dan berjauhan daripada keluarga tersayang pula berharap penguatkuasaan PKP dilonggarkan agar mereka boleh pulang ke rumah masing-masing. Semua itu antara kegusaran dan kekhuatiran yang dikenal pasti dalam kalangan rakyat.

Perkara-perkara itu kemudiannya digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan sentimen tidak selamat dan persepsi bahawa kerajaan gagal melindungi rakyat secara keseluruhan.

Namun, di sebalik negativiti yang cuba dibawakan oleh mereka, Malaysia bersyukur kerana mempunyai rakyat yang bertimbang rasa, memahami dan sanggup berkorban untuk negara.

Mudarat

Sebagai contoh, apabila Kementerian Kesihatan menasihatkan pelajar yang terkandas di kolej kediaman di IPT masing-masing supaya terus kekal di kampus bagi mengurangi risiko gelombang baharu penularan virus itu, kementerian yang bertanggungjawab terus bertindak mencari jalan supaya kehidupan pelajar terbabit sentiasa positif dan produktif.

Semakan dan bacaan di laman media sosial mendapati ada dalam kalangan para pelajar IPT memahami situasi semasa dan sanggup berkorban untuk negara dan ibu bapa serta ahli keluarga mereka. Ada yang mengakui mereka sendiri tidak mahu mendedahkan ahli keluarga kepada virus maut tersebut.

Penulis mengagumi keprihatinan dan pengorbanan para pelajar ini. Cuma, penulis juga berharap agar pihak kerajaan dapat memikirkan jalan agar para pelajar itu dapat menjalankan kehidupan mereka di kampus dengan tenang dan tanpa tekanan.

Penulis sendiri pernah lalui masa muda sebagai pelajar dan memahami situasi mereka. Kita tidak mahu aset masa hadapan dan pelapis kepimpinan negara kita stres berlebihan tanpa kawalan dan kelak boleh memudaratkan diri dan rakan-rakan.

Artikel Berkaitan:

Bukan itu sahaja, krisis Covid-19 juga menyaksikan pengorbanan datang dari banyak tempat dan berbagai bentuk.

Menyedari akan keperluan petugas barisan hadapan kita di hospital-hospital Covid-19 pada kelengkapan perlindungan diri (PPE), sebuah rumah anak yatim dan bantuan dana orang ramai telah membeli kain khas yang jumlah panjangnya sehingga lebih 50 kilometer untuk membuat jubah PPE yang patuh syariah.

Di samping mereka dapat mengisi masa secara produktif, usaha itu sekurang-kurangnya menjadi pengorbanan kecil mereka selain dapat beramal dan berjuang bersama wira-wira petugas barisan hadapan kita dalam memerangi musuh yang tidak kelihatan.

Ada juga dilaporkan sekumpulan jurutera dan penyelidik berkumpul bersama dan memulakan projek mereka bentuk dan membuat alat bantuan pernafasan ventilator bagi membantu Kementerian Kesihatan yang kini kekurangan alat berkenaan demi menghadapi gelombang pesakit positif Covid-19 yang seterusnya.

Kisah-kisah itu adalah antara bukti dan testimoni bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu menghadapi cabaran yang membahayakan nyawa ini.

Justeru, penulis menyeru semua pihak agar terus menyebarkan semangat positif ini. Pengorbanan untuk negara itu datang daripada pelbagai bentuk dan kaedah. Ia adalah sesuatu yang positif untuk kita bukan sahaja memenangi ‘peperangan Covid-19’, malah mungkin boleh mengelakkan peperangan politik sempit yang boleh memecahbelahkan rakyat.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!