Perlu helikopter baharu ganti Nuri
VANGUARD
CADANGAN supaya helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri diaktifkan semula bagi melaksanakan tugas-tugas sokongan logistik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berikutan kekurangan pesawat dilihat tidak sesuai walaupun kemampuan pesawat berkenaan tidak diragui.
Nuri yang berusia lebih 50 tahun diakui antara helikopter paling efektif, tahan lasak dan ampuh termasuk menyokong operasi tempur semasa era Insurgensi memerangi pengganas komunis.
Sehingga kini, helikopter jenis tersebut masih dioperasikan beberapa negara antaranya India, Belgium, Mesir dan Norway.
Bagaimanapun, ada alternatif lain yang boleh dipertimbangkan iaitu kaedah sewa guna atau Company Own and Military Operates (COMO) sekiranya TUDM benar-benar memerlukan helikopter tambahan untuk menyokong operasi semasa. Ia bukanlah baharu, malah konsep itu telah pun dipraktikkan ATM sebelum ini.
Menerusi kaedah itu, kos sewaan sesuatu aset itu meliputi semua aspek termasuk kerja-kerja senggaraan dan alat ganti yang dilakukan oleh syarikat penyewa.
Sebelum ini, terdapat cadangan supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengaktifkan kembali penggunaan helikopter Nuri, khusus bagi menghantar bantuan kepada penduduk yang terjejas di kawasan pedalaman ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ia berikutan semua operasi ketenteraan ketika ini dilakukan sepenuhnya menggunakan helikopter EC725, termasuk bagi menghantar bantuan makanan kepada penduduk, terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak.
Pada Januari lalu, TUDM memutuskan agar khidmat kesemua 12 buah helikopter Nuri yang masih ada dihentikan daripada menyertai pelbagai bentuk misi yang disifatkan sebagai terlalu uzur untuk digunakan.
Susulan tindakan itu juga, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang mengoperasikan helikopter Nuri bekas kepunyaan TUDM tetapi telah dinaik taraf mengambil langkah serupa bagi menimbang semula kesesuaian operasi pesawat berkenaan.
TUDM ketika ini mengoperasikan 12 buah helikopter Eurocopter EC725 yang dibeli kerajaan pada tahun 2007 dengan tujuan menggantikan Nuri susulan kejadian nahas yang berlaku di hutan Gunung Bunga Buah dekat Genting-Sempah pada tahun tersebut.
Berbeza dengan Nuri, TUDM memilih pesawat EC725 bukan untuk melaksanakan tugas-tugas pengangkutan kargo semata-mata tetapi bagi kesesuaian doktrin operasi TUDM termasuk dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) serta mencari menyelamat tempur (CSAR).
Operasi CSAR memerlukan sebuah helikopter yang boleh terbang pantas, dilengkapi alatan navigasi, beroperasi pada keadaan cuaca ekstrem serta dilengkapi persenjataan.
Sebab itu, beberapa buah daripada helikopter EC725 TUDM itu telah dilengkapi dengan alat-alat tambahan untuk melaksanakan operasi kombat yang bersesuaian.
Cadangan TUDM untuk memperoleh sekurang-kurangnya 24 buah helikopter EC725 bagaimanapun tidak berlaku apabila tiada pembelian selanjutnya dilakukan.
Justeru, adalah wajar sekiranya TUDM dipertimbang mengoperasikan helikopter pengangkut untuk tugas-tugas pelbagai guna menerusi kaedah COMO.
Konsep itu bersifat jangka pendek, lebih menjimatkan kos operasi dan pengurusan aset. Misalnya, TUDM boleh menyewa lima buah helikopter untuk kegunaan pengangkutan bagi tempoh tertentu. Pesawat boleh diterima segera tanpa menunggu lama.
TUDM ketika ini telah menyewa lima buah helikopter Eurocopter EC120B Colibri milik syarikat persendirian bagi melatih juruterbang-juruterbang baharu di Kolej Tentera Udara di Alor Setar, Kedah.
Helikopter EC120B Colibri menggantikan Alouette III yang setelah dioperasikan lebih 50 tahun.
ATM juga pada tahun 2016 menyewa 20 buah bot pemintas berkuasa tinggi jenis Viper dan Stingray untuk tugasan Ops Pasir di Sabah. Ia bagi menggantikan bot-bot lama untuk di tempatkan di kawasan Sandakan, Semporna dan Kudat.
Menerusi sewaan itu, ATM telah menetapkan bahawa syarikat penyewa perlu memastikan 90 peratus bot boleh beroperasi pada setiap masa di mana bot ganti perlu disediakan sekiranya terdapat bot rosak atau perlu diselenggara.
* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!