Menanti sifar kematian

No Image Caption
A
A
A

SEWAKTU melaporkan gelombang pertama wabak Covid-19 bermula pada penghujung Januari lalu, saya tidak pernah menyangka akan menyaksikan virus jahat itu tersebar ke hampir seluruh 329,847 kilometer persegi bumi Malaysia dalam masa yang begitu cepat.

Keadaan menjadi ketara selepas gelombang kedua bermula apabila pesakit ke-26 disahkan dijangkiti sedangkan Malaysia sebelum itu bebas daripada kes baharu positif Covid-19 selama 11 hari berturut-turut.

Selepas itu, angka kes baharu jangkitan terus melonjak setiap hari. Semalam, lima lagi kematian dicatatkan menjadikan angka korban Covid-19 di negara ini meningkat kepada 82 orang. Sebanyak 4,987 kes positif wabak itu dicatatkan setakat semalam.

Bagi saya yang merakamkan perkembangan wabak itu menerusi sidang akhbar di Putrajaya, dari hari ke hari dan detik ke detik, lebih merasai debarannya.

Saya melihat bagaimana kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berterusan memerah keringat dan berganding bahu merancang serta menyusun strategi bagi memerangi virus ini.

Ketika KKM bersiap sedia untuk menghadapi gelombang kedua Covid-19 yang disangkakan diimport daripada pelancong tempatan yang bercuti ke luar negara, perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dan perhimpunan gereja di Kuching, Sarawak meletus umpama bom jangka yang tidak diduga.

Sekali lagi warga KKM berdepan ujian getir bagi mengekang penularannya.

Masakan tidak, kerja-kerja melawan virus ini ibarat memerangi musuh yang tidak nampak dengan mata tertutup. Menyukarkan lagi tugas KKM adalah untuk mencari jalan bagaimana menyekat penularan wabak oleh pesakit yang tidak mempunyai simptom.

Artikel Berkaitan:

Setiap kematian yang diumumkan menyebabkan perasaan bercampur baur. Misalnya, ucapan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada sidang akhbarnya yang berbunyi, “dukacitanya dimaklumkan bahawa terdapat kematian dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan...” sudah cukup untuk meruntun hati.

Terasa bulu roma tegak berdiri mengiringi khabar duka. Sedih dan terkejut sudah pasti walaupun mereka bukan darah daging saya. Tapi sebagai rakyat yang didik dengan nilai patriotisme, ia memberi kesan duka di dalam hati.

Tidak menyangka sejauh itu pandemik Covid-19 mengganas sehingga memaksa Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan panduan pengurusan jenazah bagi pesakit Muslim.

Majlis Fatwa juga membuat keputusan menangguhkan solat Jumaat dan solat berjemaah di masjid serta surau sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan.

Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan.- Foto: Bernama
Dr Noor Hisham bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan.- Foto: Bernama

Sejak itu, kebimbangan terhadap virus ini semakin meningkat bahkan saban hari CPRC merekodkan kematian mangsa Covid-19.

Rekod tertinggi kematian dicatatkan pada 29 Mac dengan tujuh kes dalam masa sehari. Rutin normal harian juga berubah apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Akhirnya, pada hari ini, biarpun kematian masih direkodkan CPRC, namun usaha itu mula membuahkan hasil apabila lengkungan kes mula mendatar sekali gus memberi harapan wabak Covid-19 akan segera berakhir.

Rasa syukur terzahir setiap kali Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan angka kes pulih yang semakin bertambah, malah mengatasi kes baharu jangkitan virus tersebut.

Bagaimanapun, jauh di sudut hati saya mengharapkan Noor Hisham menuturkan sekurang-kurangnya bahawa “tiada pertambahan kes kematian direkodkan hari ini”.

Saya cuba membayangkan bagaimana suasana di ruang sidang media itu sekiranya perkara itu menjadi kenyataan.

Meskipun rakan setugas lain memilih untuk bekerja dari rumah selaras dengan kemajuan teknologi, saya memilih untuk melangkah tanpa jemu ke bangunan Kementerian Kesihatan di Putrajaya dengan harapan yang menggunung.

Saya menanti sifar kematian.

* Tuan Buqhairah Tuan Muhamad Adnan ialah wartawan Sinar Harian Edisi Nasional

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!