Jangkitan kemurungan bakal landa dunia
WABAK Covid-19 dijangka memberi kesan besar dan berpanjangan ke atas kesihatan mental penduduk dunia.
Kajian terbaharu Persatuan Psikiatri India mendedahkan seorang daripada lima rakyat India atau lebih 260 juta daripada 1.3 bilion penduduk negara itu mengalami masalah kesihatan mental akibat perintah berkurung yang sedang dilaksanakan.
Rata-rata rakyat India takut kehilangan nyawa, pekerjaan dan kejatuhan perniagaan.
Di Amerika Syarikat (AS) pula, jurnal perubatan Lancet baru-baru ini memberi amaran wabak Covid-19 akan meninggalkan kesan psikologi terhadap rakyat AS, sama seperti Tragedi 11 September 2001 serta Taufan Katrina pada tahun 2005 dan Taufan Harvey pada 2017.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, di Malaysia, isu berkaitan sokongan emosi, psikologi dan kaunseling adalah antara isu utama yang dikemukakan orang awam melalui talian kaunseling Kementerian Kesihatan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Salah satu masalah kesihatan mental ialah kemurungan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kemurungan adalah penyakit keempat terbesar yang menyumbang kepada penyakit global dialami manusia di seluruh dunia ketika ini.
Data daripada WHO menunjukkan kemurungan bukanlah perasaan sedih yang biasa. Ia sejenis penyakit perubatan yang melibatkan perasaan sedih yang berpanjangan serta menjejaskan fungsi harian seseorang individu.
Tanda-tanda seseorang mula murung termasuklah mereka banyak diam, tidak mahu bercakap. Termenung tapi tidak tahu apa yang dimenungkan. Fikiran mereka kosong.
Mereka juga tidak bersemangat atau tidak berminat melakukan aktiviti yang disukai sebelum ini. Corak tidur turut berubah, sama ada kurang tidur atau terlebih tidur.
Mereka juga selalu letih dan kurang tenaga malah merasakan diri tidak berguna. Lebih parah lagi, mangsa kemurungan sering berfikir tentang keinginan untuk mati atau bunuh diri, bahkan merancang untuk membunuh diri.
Justeru, kesihatan mental tidak boleh dipandang remeh pada musim Covid-19 ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!