Covid-19 pengaruhi tingkah laku pembelian pengguna
KUALA LUMPUR - Satu kaji selidik oleh Vasa.ai menunjukkan tingkah laku pembelian pengguna mengubah keperluan dan kehendak yang dipengaruhi kemajuan penularan pandemik Covid-19 dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kaji selidik dalam talian itu melibatkan 1,082 responden rakyat Malaysia di seluruh negara untuk menilai tingkah laku pembelian pengguna.
Menurut kaji selidik itu, penjual luar talian yang sering dikunjungi pengguna sejak PKP adalah pasar raya tempatan, 99 Speedmart dan Tesco manakala penjual dalam talian utama adalah Tesco Online dan Mydin Online.
Selain itu, 27 peratus daripada pengguna masih menyertai jualan dalam talian dan promosi barangan bukan makanan dengan 15 peratus daripada mereka bersetuju barangan yang dijual dalam talian ketika ini adalah lebih murah.
Bagaimanapun, 29 peratus daripada pengguna menunjukkan belian dalam talian lebih mahal, kemungkinan disebabkan bekalan yang terhad.
Kaji selidik itu juga menunjukkan peningkatan minat untuk mendapatkan produk yang mengekalkan kesejahteraan pengguna apabila 91 peratus daripada mereka membeli barangan kebersihan diri dan 86 peratus pengguna membeli topeng muka, pensanitasi tangan atau pembasmi kuman. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!