Covid-19: Trump beku dana kepada WHO
WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan pembekuan dana kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Langkah pembekuan itu diambil kerana Trump menuduh WHO cuba menyembunyikan tahap serius penularan koronavirus (Covid-19) di China sebelum ia merebak ke seluruh dunia.
Trump pada satu sidang media berkata, beliau mengarahkan pentadbirannya untuk menghentikan penyaluran dana berkenaan sementara penilaian dibuat terhadap peranan WHO dalam salah urus dan cubaan untuk menutup penularan wabak itu.
Menurutnya, WHO menghalang ketelusan mengenai wabak berkenaan dan AS selaku penyumbang terbesar akan berbincang mengenai kegunaan dana yang seharusnya pergi kepada pertubuhan itu.
“Dengan tercetusnya wabak Covid-19, kami mempunyai kebimbangan yang mendalam apakah kemurahan hati Amerika telah digunakan sebaik mungkin," katanya.
Beliau sebelum ini menuduh WHO berpihak kepada China dan cuba menghalang pesaing ekonomi terbesar AS itu mendedahkan mengenai pandemik berkenaan.
Katanya, ia menyebabkan negara lain membazirkan masa penting untuk bersedia dan menangguhkan keputusan untuk hentikan perjalanan antarabangsa.
“Serangan WHO terhadap sekatan perjalanan meletakkan kebenaran politik melebihi langkah untuk menyelamatkan nyawa.
“Sekiranya WHO menjalankan tugasnya dan menghantar pakar perubatan ke China untuk menilai secara objektif keadaan di lapangan dan menghentikan ketidaktelusan China, wabak itu pasti dapat dibendung daripada puncanya dengan hanya sedikit jumlah kematian,” kata Trump.
Namun pengkritik menyatakan, Trump sering memuji Beijing ketika wabak itu mula merebak dan memperlekeh tahap keselamatan kesihatan di negara sendiri. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!