Pengkritik mula rindukan saya: Pogba
PEMAIN tengah Manchester United, Paul Pogba tidak mahu ambil kisah dengan kritikan yang dilemparkan oleh pemerhati bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) terhadapnya sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, kritikan tersebut tidak memberikan kesan kepadanya dan ia sebagai petanda pengkritik mula merindukan aksinya di atas padang.
Sebelum ini juga, pemerhati bola sepak yang juga legenda Liverpool, Graeme Souness mengkritik Pogba yang bukan sahaja berkaitan persembahan di atas padang tetapi juga mengenai sikap dan gaya rambut pemain itu.
Pogba turut membalas kritikan tersebut dengan jawapan tidak masuk akal mengatakan dia tidak mengenali Souness yang merupakan legenda Liverpool di era 80-an dengan lima kejuaraan liga dan tiga Piala Juara-Juara.
Souness lantas membalas ejekan Pogba itu dengan menyifatkan pemain kelahiran Perancis itu masih belum mampu memberikan sebarang kejuaraan sejak menyertai The Red Devils pada 2016.
Bagaimanapun, Pogba tidak mahu ambil serius kritikan tersebut dan melihat ia tidak lebih sekadar provokasi dan kerinduan pengkritik untuk melihatnya kembali beraksi.
"Saya rasa mereka merindukan saya. Ketika saya menyaksikan perlawana di televisyen, saya memang suka menonton tetapi bukan komen yang dikeluarkan oleh pengkritik.
"Ketika anda seorang penyokong dan tahu mengenai bola sepak, anda tidak memerlukan pengkritik untuk tahu apa yang terjadi," katanya.
Dalam masa sama, Pogba mahu terus menumpukan kepada proses pemulihan kecederaannya dan untuk cuba kembali cergas sebelum liga bersambung semula.
"Jika mereka ingin bercakap, teruskan. Itu hak mereka. Mereka boleh bercakap tetapi saya sudah terbiasa dengannya. Saya sudah kebal, jadi perkara itu sama sekali tidak menggangu saya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pogba sudah tiada nilai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!