Lima warga asing ingkar PKP naik bas menuju KL
IPOH - Lima warga asing ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan cuba melakukan perjalanan lebih 300 kilometer untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Mereka terdiri dua lelaki Indonesia, seorang lelaki masing-masing warga Pakistan dan Myanmar serta seorang wanita warga Mongolia itu ditahan dalam satu pemeriksaan sebuah bas persiaran jam 3.20 petang di Plaza Tol Jelapang, Lebuh Raya Utara - Selatan di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pemeriksaan terhadap suspek berusia 22 hingga 41 tahun itu mendapati mereka turut tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
”Ketika ditanya mengenai tujuan perjalanan itu, mereka memberi alasan antaranya untuk pulang ke Indonesia, selesai berjumpa isteri di Pulau Pinang dan bertemu dengan rakan-rakan di negeri itu sebelum balik semula ke Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki dan wanita tersebut disyaki menggunakan pasport palsu manakala dua lelaki lain disyaki memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) palsu serta tidak memiliki sebarang dokumen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua tangkapan melalui saringan awal bagi memastikan keadaan mereka dalam keadaan baik tanpa ada gejala demam.
“Suspek lelaki dimasukkan ke lokap balai polis pusat manakala wanita tersebut dimasukkan ke lokap Balai Polis Jelapang dan direman di bawah Jabatan Imigresen sehingga 28 April ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!